•   

SUKAN SEA KUALA LUMPUR 2017 › SENARAI BERITA




Benjamin Bidik Emas Tamatkan Penantian 10 Tahun


PETALING JAYA, 21 Ogos (Bernama) -- Penembak negara Benjamin Khor Cheng Jie akhirnya menamatkan penantian 10 tahun Malaysia dengan membidik emas dalam acara double trap individu lelaki Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) di Lapang Sasar Menembak Nasional di Subang, di sini hari ini.

Benjamin, bagaimanapun berdepan saingan sengit pada dua pusingan terakhir daripada rakan senegara Abraham Eng Wei Jin sebelum memenangi pingat emas itu selepas mengumpul 71 mata manakala Abraham yang membuat penampilan pertama pada Sukan SEA terpaksa berpuas hati dengan pingat perak dengan catatan 66 mata.

Penembak Thailand Temmart Sirawit meraih gangsa dengan 44 mata.

Bercakap kepada pemberita selepas majlis penyampaian pingat, Benjamin, 24, yang amat gembira dengan kejayaannya itu mendedikasikan kemenangan itu kepada bapanya yang juga jurulatih peribadinya Edward Khor yang mendorongnya untuk menceburi sukan itu sejak kecil lagi.

Benjamin yang tinggal di England mendedahkan beliau hanya menjalani latihan selama seminggu untuk membiasakan diri dengan venue itu sebelum beraksi dalam acara menembak KL2017 yang membuka tirai hari ini.

"Amat mengembirakan penembak negara meraih dua tempat teratas dan berharap lebih banyak pingat emas akan dapat dituai daripada acara menembak. Selain kepada bapa, saya juga mengucapkan terima kasih kepada Majlis Olimpik Malaysia, Majlis Sukan Negara yang telah menggalas tugas dengan begitu baik dan satu penghormatan bagi saya untuk pulang bertanding dalam Sukan SEA.

"Kemenangan ini amat bermakna bagi diri saya kerana sudah menanti selama 10 tahun untuk ini," kata Benjamin yang turut menyasarkan peluang bertanding pada Sukan Komanwel 2018 di Gold Coast, Australia dan Sukan Asia 2018 di Indonesia.

Sementara itu, Abraham tidak dapat menahan air matanya daripada mengalir berikutan terlepas pingat emas kepada seniornya itu selepas mendahului pada awal pertandingan dan berjanji untuk melakukan lebih baik lagi pada temasya akan datang.

"Saya sepatutnya memenangi emas selepas mendahului tetapi satu kesilapan kecil terpaksa dibayar dengan harga yang mahal - ini pengalaman pertama saya bertanding dalam Sukan SEA - saya bercita-cita menjadi juara dunia di masa depan," kata penembak berumur 15 tahun daripada Johor Bahru itu.

Acara double trap tidak dipertandingkan sejak 10 tahun lepas dengan Edward merupakan pemenang pingat gangsa Sukan SEA Manila 2005.

Tiga lagi pingat emas ditawarkan pada hari kedua acara menembak esok iaitu 50m pistol lelaki, 10m air rifle lelaki dan 25m pistol wanita.

-- BERNAMA