•   

SUKAN SEA KUALA LUMPUR 2017 › SENARAI BERITA




Syafiq Tebus Kekecewaan Gagal Beraksi Sukan SEA 2015



Oleh Muhammad Faiz Baharin

KUALA LUMPUR, 21 Ogos (Bernama) -- Selepas menarik diri daripada menyertai Sukan SEA 2015 di Singapura kerana menemani isterinya bersalin anak sulung, pemain boling negara Muhamad Syafiq Ridhwan Abdul Malek menebus kekecewaan itu hari ini dengan memenangi pingat emas acara beregu lelaki Sukan Sukan SEA 2017.

"Keputusan menarik diri dua tahun lalu memang agak berat tetapi kerana ia merupakan kelahiran anak sulung, saya nekad tidak menyertai skuad negara mengambil bahagian di Singapura.

"Biarpun sedikit sedih, namun saya tidak menyesal dengan keputusan itu dan hari ini terbukti ada hikmah di sebaliknya, emas milik saya malah lebih bermakna dapat dikongsi bersama mereka berdua (isteri dan anak)," katanya kepada Bernama selepas majlis penyampaian hadiah selepas saingan acara itu.

Beliau yang berpasangan bersama Alex Liew Kien Liang dalam acara berkenaan berkata kemenangan diraih cukup bermakna dan ditujukan kepada isteri Noor Shafira Norasid, 31, serta anak perempuannya Ayra Azzahra, 2, yang menjadi inspirasinya ketika beraksi untuk negara pada temasya kali ini.

Syafiq dan Alex meraih emas selepas melakukan keseluruhan 2,647 jatuhan pin menewaskan satu lagi beregu negara Adrian Ang Hsien Loong dan Muhammad Rafiq Ismail yang meraih pingat perak dengan 2,630 jatuhan pin.

Pingat gangsa dimenangi pasangan beregu Indonesia Billy Muhammad Islam dan Hardy Rachmadian dengan catatan keseluruhan 2,615 jatuhan pin.

Dalam pada itu, Syafiq berkata beliau kini sudah mula menyesuaikan diri dengan tekanan sebagai peserta tuan rumah.

Katanya dalam aksi acara individu semalam beliau agak gugup untuk beraksi di hadapan ratusan penyokong negara sehingga gagal mempamerkan aksi terbaik.

"Saya perlu berterima kasih kepada Alex Liew dan jurulatih Holloway Cheah yang banyak membantu dan memberi sokongan agar sentiasa fokus seterusnya memberikan yang terbaik sepanjang aksi ini," katanya.

-- BERNAMA