•   

SUKAN SEA KUALA LUMPUR 2017 › SENARAI BERITA




Sorakan Penyokong Suntik Semangat Pemanah Recurve Gondol Emas


KUALA LUMPUR, 21 Ogos (Bernama) -- Kerjasama dan semangat berpasukan membantu trio memanah negara berjaya mempertahankan pingat emas Sukan SEA buat kali keempat berturut-turut dalam acara recurve berpasukan lelaki pada edisi ke-29 di sini hari ini.

Selain, itu, sorakan gemuruh daripada sekumpulan penyokong di sekitar padang sintetik Majlis Sukan Negara (MSN) turut menyuntik semangat bagi trio negara, Khairul Anuar Mohamad, Haziq Kamaruddin dan Muhammad Akmal Nor Hasrin.

Trio negara mencatatkan keputusan 5-1 untuk menewaskan trio Thailand, Denchai Thepna, Natthapoon Phusawat dan Witthaya Thamwong untuk mempertahankan emas yang dimenangi pada edisi lepas di Singapura, dua tahun lepas.

Khairul Anuar, yang beraksi pada Sukan Ompilik Rio 2017, berkata beliau terharu dengan kesungguhan penyokong Team Malaysia yang tiba di venue perlawanan seawal sembilan pagi setiap hari untuk memberi sokongan kepada mereka.

Bagi dirinya, kemenangan pingat emas itu turut menebus kekecewaannya apabila gagal meraih pingat emas dalam acara individu semalam selepas tewas 6-2 kepada pemanah Vietnam, Chu Duc Anh dalam aksi final semalam.

"Alhamdulillah dapat mempertahankan pingat emas empat kali berturut-turut untuk acara berpasukan. Sebenarnya saya sudah tidak ada perasaan kerana apa yang terjadi semalam (acara individu lelaki)."

"Tapi rakan sepasukan banyak membantu saya dan mereka banyak menasihatkan saya untuk melakukan yang terbaik kerana saya sudah hilang perasaan bertanding sepanjang pertandingan ini," katanya kepada selepas memenangi pingat emas.

Sementara itu, Muhammad Akmal, yang pertama kali beraksi di Sukan SEA, menyifatkan bantuan dan tunjuk ajar daripada jurulatih serta rakan sepasukan membantunya memenangi emas dalam acara itu.

-- BERNAMA