•   

SUKAN SEA KUALA LUMPUR 2017 › SENARAI BERITA




Nahas: Dua Skuasy Myanmar Tarik Diri Acara Beregu Wanita


KUALA LUMPUR, 20 Ogos (Bernama) -- Dua pemain skuasy Myanmar yang terlibat dalam kemalangan dua bas pagi tadi menarik diri daripada pertandingan acara beregu wanita pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) hari ini.

Susulan kemalangan melibatkan skuad skuasy Myanmar, Thailand dan Filipina itu, jadual perlawanan yang sepatutnya bermula pada 9 pagi tadi diubah ke 4 petang.

Setiausaha Jawatankuasa Sukan dan Teknikal MASOC (Jawatankuasa Pengelola Sukan SEA ke-29), Datuk Low Beng Choo berkata kedua-dua pemain itu tidak cedera teruk namun mereka masih lagi dalam pemantauan doktor.

"Mereka tidak mengalami kecederaan serius. Mereka juga telah diletakkan di bawah pemantauan pihak fisiologi dan saya harap mereka dapat beraksi semula dalam acara lain di KL2017.

"Kita baru habis mesyuarat dengan semua pengurus pasukan. Mereka setuju untuk habiskan kesemua perlawanan hari ini dan esok perlawanan akan ditunda selama satu jam," kata Low selepas mesyuarat itu.

Pengurus pasukan skuasy Myanmar Thant Kyaw berkata terdapat 10 pemain dalam bas itu termasuk dua yang tercedera dalam nahas berkenaan. Mereka adalah Aye Aye Thin dan Ei Ei Pyone.

Kedua-dua mereka menarik diri daripada acara beregu wanita dan akan digantikan bagi acara beregu campuran.

Ketua Trafik Kuala Lumpur ACP Nadzri Hussain berkata kemalangan dua bas yang membawa atlet tiga negara berkenaan berlaku pada kira-kira 7.50 pagi dekat Tol Sungai Besi menghala ke Lebuhraya Shah Alam (Kesas).

Kejadian dipercayai berlaku apabila satu daripada bas itu membrek secara mengejut untuk mengelak sebuah motosikal.

Pertandingan skuasy bermula hari ini sehingga 29 Ogos di Pusat Skuasy Nasional, Kompleks Sukan Negara, Bandar Sukan Kuala Lumpur.

-- BERNAMA