•   

SUKAN SEA KUALA LUMPUR 2017 › SENARAI BERITA




Gandingan Alex Liew-Muhammad Syafiq Rangkul Emas


PETALING JAYA, 21 Ogos (Bernama) -- Pemain boling negara Alex Liew dan Muhamad Syafiq Abdul Malek mengatasi persaingan sengit daripada rakan senegara pada permainan terakhir untuk merangkul emas dalam acara beregu lelaki Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) di Sunway Mega Lanes, dekat sini, hari ini.

Gandingan Alex Liew-Muhammad Syafiq melakukan balingan cemerlang pada permainan terakhir untuk mencatatkan 2,647 jatuhan pin, kelebihan 17 pin daripada Adrian Hsien Loong dan Muhammad Rafiq Ismail yang meraih perak.

Sebelum permainan terakhir, gandingan emas itu mengekori Adrian-Muhammad Rafiq dengan satu pin pada permainan kelima apabila lawan mereka melakarkan catatan 2,210 jatuhan pin.

Persaingan sengit selama tiga jam itu menyaksikan gandingan Indonesia, Billy Muhammad Islam dan Hardy Rachmadian memenangi gangsa dengan catatan 2,615 jatuhan pin.

Alex Liew, pemain senior berusia 41 tahun itu, tidak menjangka dapat merangkul emas memandangkan tempoh permainan yang lama memaksa beliau membuat banyak pertukaran bola.

"Saya melakukan banyak pertukaran bola. Saya beralih dari satu bola ke bola lain dan seterus hanya melakukan yang terbaik sehingga permainan terakhir," katanya yang turut mengakui terkejut berada pada kedudukan pertama apabila membandingkan momentumnya yang perlahan pada peringkat awal.

Sementara itu, Muhamad Syafiq menyifatkan bahawa beliau mendapat rentak permainan hari ini selepas kecundang pada kategori individu semalam.

"Saya berterima kasih kepada Alex kerana menampilkan permainan yang terbaik dan kemenangan ini akan menjadi pembakar semangat untuk terus mendapatkan kemenangan bagi kategori trio dan berpasukan," kata atlet 31 tahun itu yang pertama kali beraksi di laman sendiri.

-- BERNAMA