•   

SUKAN SEA KUALA LUMPUR 2017 › SENARAI BERITA




ISTAF Akan Siasat Tindakan Indonesia Tinggalkan Gelanggang


KUALA LUMPUR, 21 Ogos (Bernama) -- Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (ISTAF) akan meneliti semua laporan daripada pengadil dan menonton ulang tayang video sebelum membuat sebarang keputusan berhubung tindakan skuad sepak takraw wanita Indonesia meninggalkan gelanggang semasa perlawanan menentang Malaysia, semalam.

Setiausaha Agung ISTAF Datuk Abdul Halim Kader berkata insiden itu tidak sepatutnya berlaku kerana pasukan Indonesia boleh menggunakan saluran yang betul seandainya ingin melakukan protes dan bukannya bertindak memberhentikan perlawanan dan meninggalkan stadium begitu sahaja.

"Jadi kita akan meneliti semua laporan daripada pengadil termasuk melihat kepada ulang tayang video sebelum menjatuhkan hukuman terhadap republik itu," katanya kepada pemberita pada sidang media hari ini.

Menurutnya, Indonesia mungkin telah melakukan kesalahan di bawah paraturan 9.7 buku teknikal sepak takraw yang dikeluarkan oleh MASOC (Jawatankuasa Pengelola Malaysia).

Insiden itu berlaku sebagai tanda bantahan jurulatih Indonesia, Asry Syam terhadap keputusan pengadil Singapura, Mohd Radhi Che Mei membatalkan empat servis yang dilakukan oleh tekong dari negara itu, Lena, ketika mendahului set kedua dengan 16-10.

Tindakan Indonesia itu memberi kemenangan 2-0 secara pembatalan kepada Malaysia selepas pasukan tuan rumah menang set pembukaan dengan keputusan 22-20.

Sementara itu, isu penarikan diri pasukan Kemboja dalam acara beregu berpasukan lelaki hari ini tidak akan diambil tindakkan oleh ISTAF.

Menurut Abdul Halim, Kemboja sejak dari perlawanan pertama menentang Thailand sudah menyatakan hasrat tidak akan beraksi untuk keseluruhan acara berkenaan kerana mempunyai masalah teknikal yang tidak dapat dielakkan.

-- BERNAMA