POLITIK › BERITA




Bekas Exco Armada Buat Aduan Rasmi Berhubung AGM PPBM


Tarikh kemaskini: 03/01/2018

PUTRAJAYA, 3 Jan (Bernama) -- Bekas Exco Pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) hari ini membuat aduan rasmi di Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) berhubung mesyuarat agung tahunan (AGM) pertama parti itu pada Sabtu lepas yang didakwa tidak mengikut perlembagaan parti.

Menurut Mohamad Taufik Abas, tiada mesyuarat diadakan untuk pemilihan perwakilan di peringkat bahagian, cawangan ataupun sayap-sayap parti untuk menghadiri AGM itu.

Beliau mendakwa perwakilan yang hadir pada AGM di Shah Alam itu adalah 'kroni' Pengerusi PPBM Tun Dr Mahathir Mohamad yang dipilih secara khusus.

"Mahathir membawa budaya kronisme ke PPBM. Semuanya kroni beliau. Mereka yang membantah Mahathir tidak terpilih untuk hadir pada AGM itu," katanya.

Mohamad Taufik menasihatkan golongan muda agar tidak dipergunakan Dr Mahathir dalam propaganda peribadi beliau.

Katanya Dr Mahathir menggesa anggota parti mengorbankan wang ringgit untuk menyokong parti namun beliau sendiri tidak mengorbankan apa-apa.

-- BERNAMA