POLITIK › BERITA




Rakyat Jangan Tertipu Helah Pemimpin Ppbm - Nur Jazlan


Tarikh kemaskini: 01/01/2018

JOHOR BAHRU, 1 Jan (Bernama) -- Rakyat diharap tidak tertipu dengan helah pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang mengatakan mereka mempunyai sokongan akar umbi.

Ketua UMNO Bahagian Pulai Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata parti itu cuba menipu rakyat dengan melanggar perlembagaan sendiri.

"Ini satu penipuan kepada rakyat dengan mengatakan mereka mempunyai sokongan di akar umbi yang meluas tetapi sebenarnya gagal melaksanakan mesyuarat di peringkat cawangan dan bahagian.

"Maknanya ini bukan parti yang mempunyai akar umbi. Ini merupakan parti yang diwujudkan di 'awang-awangan' dan saya juga rasa ia tidak akan dihormati dan akan diketepikan oleh parti pembangkang lain," katanya di sini Ahad malam.

Nur Jazlan kepada demikian kepada pemberita pada majlis tahlil Allahyarham bapanya Tan Sri Mohamed Rahmat yang meninggal dunia pada 1 Jan 2010.

Sebelum ini, bekas Naib Presiden PPBM Datuk Hamidah Osman mempertikaikan perhimpunan agung tahunan parti itu yang berlangsung di Shah Alam, dua hari lepas.

Hamidah mempersoalkan cara penganjuran perhimpunan agung PPBM yang disifatkannya sekadar 'melepaskan batok di tangga' kerana tidak mengikut tatacara perlembagaan parti.

Menurut Hamidah, mengikut Perlembagaan PPBM Fasa 12 untuk Perhimpunan Agung, di bawah klausa 12.2.3, wakil yang dipilih oleh persidangan tahunan bahagian adalah sebanyak seorang wakil bagi setiap 300 anggotai dengan syarat bilangan wakil tidak melebihi tujuh orang daripada satu bahagian.

Namun katanya, PPBM tidak membuat mesyuarat di peringkat bahagian dan tergesa-gesa melakukan sesuatu serta melanggar perlembagaan mereka sendiri.

--BERNAMA