POLITIK › BERITA




Pastikan BN Kekal Sebagai Kerajaan Dan Undi Majoriti Meningkat


Tarikh kemaskini: 31/12/2017

PUTATAN, 31 Dis (Bernama) -- UMNO Bahagian Putatan diminta menetapkan azam tahun baharu mereka untuk mempertahankan Barisan Nasional (BN) sebagai kerajaan dan berusaha supaya undi majoriti meningkat dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang.

Ketua Bahagiannya Datuk Seri Yahya Hussin, yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah, berkata UMNO Putatan perlu memantapkan jentera pilihan raya bukan sahaja untuk memastikan calon daripada UMNO menang, malah semua calon BN di bawah Parlimen Putatan.

"Tetapkan azam atau resolusi kita bersama agar BN menang Parlimen Putatan dan dua kerusi negeri di bawahnya (Petagas dan Tanjung Aru). Jangan ada yang tercicir.

"Kita juga mesti tetapkan azam bukan sahaja untuk mempertahankan BN sebagai kerajaan, malah kita mahu tingkatkan undi majoriti," katanya pada Program Jentera Pilhan Raya UMNO Bahagian Putatan di sini malam ini.

Yahya juga meminta jentera parti supaya lebih cergas mendekati pengundi, terutama dalam bulan Januari hingga Mac depan.

"Jangan buang masa. Kita anggap sahaja masa itu (Januari hingga Mac) sebagai musim pilihan raya," katanya.

-- BERNAMA