POLITIK › BERITA




Mahathir Intai Peluang Bertanding PRU14


Tarikh kemaskini: 30/12/2017


SHAH ALAM, 30 Dis (Bernama) -- Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini menyatakan kemungkinan bertanding sama ada di kerusi Parlimen Langkawi, Kubang Pasu atau Putrajaya pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

"Saya mungkin bertanding di satu daripada tiga kawasan ini. Mereka beritahu saya bahawa saya punya peluang baik untuk menang di Langkawi, Kubang Pasu atau Putrajaya.

"Jadi bersiap-siaplah untuk itu," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucapan penggulungan pada perhimpunan agung pertama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) di sini hari ini.

Dalam pada itu, Dr Mahathir yang juga pengerusi PPBM berkata parti itu telah memutuskan segala hubungan dengan PAS dalam soal menjalin kerjasama politik.

"Melainkan kalau orang PAS keluar PAS masuk mana-mana parti Pakatan Harapan termasuk PPBM, mereka dialu-alukan," katanya.

Mengulas laporan sebuah portal berita yang mendakwa beliau sedang berusaha merundingkan persetujuan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bagi menyelamatkan karier politik anaknya Datuk Seri Mukhriz Mahathir, Dr Mahathir menafikan perkara itu.

Laporan itu antara lain menyebut persetujuan itu memerlukan Najib melantik Mukhriz sebagai Timbalan Perdana Menteri II sebelum PRU14 serta memberinya jawatan Kabinet, sama ada Menteri Kewangan, Menteri Dalam Negeri atau Menteri Pertahanan.

Sebagai balasan, Dr Mahathir kononnya akan berhenti menyerang Najib dan tidak akan lagi bersama Pakatan Harapan, menurut laporan itu.

-- BERNAMA