POLITIK › BERITA




Rohani Kekal Sebagai Ketua Cawangan PBB Padungan


Tarikh kemaskini: 30/12/2017

KUCHING, 30 Dis (Bernama) -- Mesyuarat Perwakilan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Padungan sebulat suara memilih Datuk Seri Rohani Abdul Karim sebagai ketua cawangan parti itu bagi sesi 2017-2020.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat yang juga Anggota Parlimen Batang Lupar itu menang tanpa bertanding pada pemilihan hari ini, sekali gus mengekalkan jawatan ini bagi penggal keempat berturut-turut sejak 2004.

Bagi jawatan timbalan ketua cawangan, Mohd Saperi Abdul Karim turut menang tanpa bertanding.

Jawatan naib ketua cawangan telah dimenangi oleh Mustaie Rebi dalam pertandingan dua penjuru, manakala Hariah Deris dan Haidel Heli yang masing-masing dipilih sebagai ketua wanita cawangan dan ketua pemuda cawangan dilantik secara automatik mengisi dua lagi kerusi naib ketua cawangan.

Rohani berkata tugas dan tanggungjawab yang telah diberikan kepada anggota jawatankuasa baharu perlu digalas dengan penuh amanah dan dedikasi yang tinggi.

Sementara itu Setiausaha Eksekutif PBB, Datuk Awang Bujang Awang Antek turut mengingatkan anggota PBB mengenai perlembagaan parti yang perlu dipatuhi serta mesyuarat perwakilan peringkat ranting dan cawangan yang perlu diselesaikan sebelum 31 Disember 2017.

-- BERNAMA