POLITIK › BERITA




PPBM Mengadakan Mesyuarat Agung Pertama Hari Ini


Tarikh kemaskini: 30/12/2017

SHAH ALAM, 30 Dis (Bernama) -- Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) hari ini mengadakan mesyuarat agung tahunan pertamanya selepas diberikan amaran oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS).

Mesyuarat yang diadakan di Pusat Konvensyen Ideal di sini dihadiri 941 perwakilan daripada 137 bahagian seperti yang diumumkan setiausaha agung parti itu Datuk Shahruddin Md Salleh.

Turut hadir Pengerusi nya Tun Dr Mahathir Mohamad, presiden parti Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Presiden Pakatan Harapan Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Sebelum ini, RoS memberi amaran kepada PPBM kerana melakukan tiga kesalahan iaitu tidak mengadakan mesyuarat agung tahunan, menubuhkan sayap pemuda dikenali sebagai Armada dan menangguhkan mesyuarat agung tanpa peruntukan dalam perlembagaan parti sehingga boleh menyebabkan parti itu dibatalkan.

Dalam pada itu, Dr Mahathir dalam ucapan dasarnya mengakui tidak ada satu pun daripada parti-parti Pakatan Harapan (PH) akan dapat menewaskan Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya umum ke-14 (PRU14) secara bersendirian.

Atas dasar itu, katanya, PPBM bergabung dengan parti-parti berhaluan sama dan menyeru anggota parti untuk mengenepikan kepentingan diri dalam parti untuk memastikan perpaduan dalam gabungan.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata PPBM menyokong Dr Mahathir untuk memainkan peranan utama dalam barisan kepimpinan kerajaan pakatan pembangkang.

Katanya, berdasarkan pengalaman memimpin negara selama 22 tahun, pengerusi Pakatan Harapan itu akan memimpin negara menuju kegemilangan.

Pada mesyuarat itu, perwakilan sebulat suara memilih Ketua Bahagian PPBM Tasek Gelugor Datuk Shariff Omar sebagai pengerusi tetap dan Ketua Bahagian Kulim-Bandar Baharu Datuk Azimi Daim sebagai timbalannya.

-- BERNAMA