POLITIK › BERITA




Lantik Perdana Menteri Sementara Amalan Tidak Sihat Dan Tidak Berperlembagaan - Takiyuddin


Tarikh kemaskini: 29/12/2017

KOTA BHARU, 29 Dis (Bernama) -- PAS menganggap pendekatan sesetengah parti politik di negara ini untuk melantik perdana menteri 'sementara' jika menang pilihan raya umum ke-14 (PRU14) sebagai amalan tidak sihat dan tidak berperlembagaan.

Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan berkata proses melantik perdana menteri adalah suatu perkara yang ditetapkan dalam Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan iaitu Yang di-Pertuan Agong hendaklah melantik suatu Jemaah Menteri untuk menasihati baginda dalam menjalankan fungsinya.

"Yang di-Pertuan Agong hendaklah terlebih dahulu melantik seorang anggota Dewan Rakyat sebagai perdana menteri untuk mempengerusikan Jemaah Menteri, yang pada hemat baginda mungkin mendapat kepercayaan majoriti anggota Dewan Rakyat itu," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Takiyuddin berkata Perkara 40 Fasal 2 pula memperuntukkan kuasa prerogatif Yang di-Pertuan Agong dalam hal pelantikan perdana menteri tanpa perlu bertindak mengikut nasihat mana-mana pihak iaitu boleh bertindak menurut budi bicara baginda pada melaksanakan fungsi melantik seorang perdana menteri.

Beliau berkata berdasarkan peruntukan berkenaan, jelas bahawa selepas PRU14, Yang di-Pertuan Agong boleh menggunakan 'hak istimewa' baginda untuk melantik seorang daripada 222 orang anggota Parlimen yang pada 'hemat' baginda mendapat kepercayaan majoriti anggota Dewan Rakyat.

Adalah menjadi amalan di Malaysia, Perdana Menteri akan dilantik daripada kalangan pemimpin parti yang mendapat majoriti kerusi di Parlimen, katanya.

Beliau berkata sekiranya berlaku sesuatu keadaan selepas sesuatu PRU di mana tidak ada satu parti yang memperoleh majoriti atau bilangan kerusi yang diperoleh masih gagal membentuk kerajaan, PAS berpandangan pada masa tersebut Yang di-Pertuan Agong akan menggunakan prerogatif baginda untuk memilih sama ada daripada parti majoriti mahupun parti minoriti untuk dilantik sebagai perdana menteri.

"Walau apa pun keadaannya, PAS berpandangan perdana menteri 'locum' bukan amalan yang baik dan tidak mencerminkan kerajaan yang dipimpinnya sebuah kerajaan yang stabil dan kuat," katanya.

-- BERNAMA