POLITIK › BERITA




MyPPP, MIC Bincang Perebutan Kerusi Parlimen Cameron Highlands Secara Tertutup


Tarikh kemaskini: 27/12/2017

KUALA LUMPUR, 27 Dis (Bernama) -- Isu perebutan kerusi Parlimen Cameron Highlands antara MyPPP dengan MIC tidak akan dibincangkan pada mesyuarat khas Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN) yang dijangka diadakan pada 3 Jan tahun depan.

Presiden MyPPP Tan Sri M. Kayveas berkata isu ini hanya akan dibincangkan secara tertutup antara kedua-dua parti berkenaan sahaja.

"Ia bukan melibatkan parti-parti komponen lain. Hanyalah dua parti sahaja yang terlibat sekiranya mahu bincang mengenai penentuan kerusi tersebut dengan BN secara tertutup.

"Namun, segala keputusan akan diserahkan kepada Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) untuk menentukannya sama ada milik MyPPP ataupun MIC ," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Krismas peringkat Wilayah Persekutuan di sini, hari ini.

Katanya beliau yakin perdana menteri akan membuat keputusan yang tepat dalam menentukan calon di kawasan berkenaan bagi memastikan BN mengekalkan kerusi itu sejak kerusi itu diwujudkan pada 2004.

"Sekiranya kerusi itu (Cameron Highlands) diserahkan kepada MyPPP, kami akan bekerja keras untuk berkhidmat sepenuhnya kepada pengundi-pengundi kawasan itu kerana segala persiapan telah dilakukan di kawasan itu.

Malah, kami telah pun bertemu dengan 28,000 pengundi lama dan 5,000 pengundi baharu sejak tiga tahun lalu, saya yakin tiada komponen parti lain yang boleh menang besar di kawasan itu selain MyPPP," katanya.

Sejak 2004, kerusi itu dimiliki oleh MIC dan kini disandang bekas presiden MIC Datuk Seri G. Palanivel, yang kini menjadi anggota Parlimen Bebas selepas hilang keanggotaan MIC semasa krisis dalaman parti itu.

-- BERNAMA