POLITIK › BERITA




PAS Pahang Akan Kemuka 10 Peratus Calon Bukan Islam


Tarikh kemaskini: 23/12/2017

TEMERLOH, 23 Dis (Bernama) -- PAS Pahang akan meletakkan 10 peratus calon bukan Islam untuk bertanding di kerusi parlimen pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Pesuruhjaya PAS negeri Rosli Abdul Jabar berkata mereka akan dipilih dalam kalangan Dewan Himpunan Penyokong PAS.

"Untuk peringkat DUN (Dewan Undangan Negeri) pula bergantung pada keadaan semasa," katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Badan Perhubungan PAS Pahang di Kompleks Al Makmur Kerdau di sini hari ini.

Beliau berkata PAS Pahang juga memutuskan untuk bertanding di sekurang-kurangnya 38 DUN dan 13 kerusi parlimen pada PRU14 nanti.

"Kita telah mengenal pasti calon-calon yang bakal bertanding dengan pelbagai latar belakang termasuk aktivis masyarakat, profesional dan golongan agamawan. Sebanyak 40 peratus merupakan golongan muda dan 10 peratus lagi merupakan calon muslimat," katanya.

Mengulas lanjut, Rosli berkata pihaknya yakin dapat menawan kawasan yang mempunyai majoriti pengundi Melayu meskipun tanpa kerjasama parti pembangkang lain bersandarkan sokongan 200 badan bukan kerajaan di bawah Gagasan Sejahtera.

PAS Pahang sudah bersedia sepenuhnya untuk menghadapi PRU14 dan kesediaan ini akan diterjemahkan pada Fastaqim 2.3 yang bakal menghimpunkan lebih 12,000 jentera pilihan raya PAS Pahang pada 20 Jan ini, katanya.

Pada masa ini PAS Pahang menyandang dua kerusi DUN iaitu Tanjung Lumpur dan Beserah serta satu kawasan parlimen iaitu Temerloh yang masing-masing dimenangi pada PRU lalu.

Satu lagi kerusi DUN yang dimenangi pada PRU13 iaitu Kuala Semantan kini diwakili Parti Amanah Negara (PAN) selepas penyandangnya Syed Hamid Syed Mohamed bertindak menyertai parti serpihan PAS itu.

-- BERNAMA