POLITIK › BERITA




Kerajaan BN Terus Salur Bantuan Pendidikan Walaupun Berdepan Kritikan


Tarikh kemaskini: 22/12/2017

SEGAMAT, 22 Dis (Bernama) -- Kerajaan yang diterajui Barisan Nasional (BN) akan terus menyalurkan bantuan pendidikan yang amat diperlukan rakyat walaupun berdepan pelbagai pandangan negatif dan kritikan terutamanya daripada pembangkang.

Presiden MIC Datuk Seri Dr S. Subramaniam berkata kerajaan BN meletakkan pendidikan sebagai tunjang utama dalam membangunkan negara, justeru bantuan pendidikan daripada peringkat sekolah hingga pengajian tinggi disediakan walaupun menghadapi pelbagai cabaran.

Menteri Kesihatan itu berkata kerajaan menyediakan sistem persekolahan secara percuma kepada rakyat tanpa bayaran khusus dan pelajar universiti tidak terkecuali menerima subsidi yuran sekitar 90 peratus yang ditanggung kerajaan setiap tahun.

"Malah, dengan musim persekolahan bakal bermula, kerajaan sentiasa prihatin dengan mengambil kira kesusahan dan kepayahan dilalui rakyat kurang berkemampuan dengan membantu mereka membuat persiapan persekolahan.

"Rakyat perlu fahami apa dilakukan oleh kerajaan dan menerimanya dengan positif walaupun terdapat pandangan negatif daripada pihak tertentu yang sentiasa mengkritik usaha murni kerajaan dalam membantu rakyat," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu, beliau menyampaikan sumbangan kepada 1,400 penerima bantuan Program Kembali Ke Sekolah Parlimen Segamat berupa kasut, baju sekolah dan beg sekolah daripada Kelab Putra 1Malaysia dan syarikat korporat UEM Edgenta Berhad.

Sementara itu, Abdul Raub Abdul Rahman, 50, yang menerima bantuan persekolahan untuk anaknya berkata beliau boleh menarik nafas lega dan berterima kasih atas keprihatinan kerajaan kerana sedia membantu ibu bapa yang kurang berkemampuan untuk menyediakan kelengkapan persekolahan.

"Pendapatan saya sebagai seorang penoreh getah tidak cukup untuk menyediakan kelengkapan persekolahan bagi tiga anak.

"Saya terpaksa menyediakan wang lebih kurang RM1,000 bagi empat anak, namun dengan bantuan ini ia sedikit sebanyak dapat mengurangkan beban kami sekeluarga," katanya yang menetap di Jementah di sini.

-- BERNAMA