POLITIK › BERITA




MIC Parti Inklusif Kaum India - Dr Subramaniam


Tarikh kemaskini: 22/12/2017


MELAKA, 21 Dis (Bernama) -- MIC bukan sebuah parti eksklusif untuk kaum India beragama Hindu semata-mata, sebaliknya sebuah parti inklusif bersandarkan kepelbagaian kaum dan agama dalam kalangan anggotanya.

Presiden MIC Datuk Seri Dr S. Subramaniam berkata selaras dengan konsep 1Malaysia dan bersatu di bawah kepelbagaian yang dipegang di negara ini sejak sekian lama, MIC juga mempunyai anggota berketurunan Telegu, Malayalam dan Sikh yang beragama Islam, Kristian serta lain-lain agama.

"MIC mempunyai sifat inklusif yang mana kita terima kepelbagaian daripada sudut agama, bahasa dan budaya di bawah payung besar MIC.

"Malah, kita lihat lapisan pemimpin kita sejak MIC ditubuhkan adalah daripada pelbagai keturunan. Kadang-kadang kita lupa sejarah itu, maka kita kena ingatkan,"katanya di sini malam ini.

Beliau yang juga Menteri Kesihatan berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Krismas MIC peringkat Melaka di sini, dan turut dihadiri Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron.

Dr Subramaniam berkata MIC sentiasa menyokong kepelbagaian dalam kalangan anggotanya, malah pernah mengadakan majlis untuk meraikan kepelbagaian itu.

"MIC pernah adakan majlis berbuka puasa di peringkat kebangsaan dan sembahyang tarawih di Ibu Pejabat MIC...majlis sambutan Krismas seperti ini juga kita adakan selain pelbagai perayaan lain di negara kita,"katanya.

Sementara itu, Idris berkata sejak sekian lama MIC membuktikan bahawa parti itu merupakan faktor penting dalam usaha menyatukan semua rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan agama.

"Cara dan mekanisme dalam menyatukan semua ini perlu kita wariskan kepada anak cucu kita supaya generasi akan datang boleh teruskan keharmonian yang dikecapi kini,"katanya.

Dalam pada itu, ketika ditemui pemberita Dr Subramaniam berkata pihaknya sedang bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) bagi mengesan sumber susu tiruan di Johor, baru-baru ini.

"Kita akan kerjasama dengan semua, maklumat akan dikongsi bagi mengesan sumber susu itu dan punca menyebabkan anak-anak yang terlibat itu sakit. Kita mahu pastikan perkara ini tidak berulang,"katanya.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan ibu bapa supaya mendapatkan rawatan segera sekiranya anak mereka mengalami simptom seperti cirit-birit atau muntah setelah meminum susu.

Pada 10 Dis lepas, media melaporkan KPDNKK merampas 210 kotak susu rumusan bayi yang disyaki tiruan dalam lima serbuan sekitar Johor Bahru.

-- BERNAMA