POLITIK › BERITA




Hajiji Yakin UMNO Dapat Bantu Kemenangan BN Sabah


Tarikh kemaskini: 07/12/2017

KUALA LUMPUR, 7 Dis (Bernama) -- UMNO Sabah yakin mampu menyumbang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen bagi memastikan Barisan Nasional (BN) dapat mengekalkan mandat pemerintahan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang.

Bendahari UMNO Sabah merangkap Pengerusi Biro Keahlian dan Daftar Pemilih UMNO negeri itu Datuk Hajiji Noor berkata keyakinan itu bersandarkan kepada kekuatan parti berusia 71 tahun itu sendiri ditambah pula prestasi cemerlang Sabah sebagai negeri tertinggi yang mempunyai keanggotaan UMNO di negara ini yang mencecah sehingga lebih setengah juta.

"Malah, baru-baru ini kami ada buat jerayawara daftar pengundi baharu di daerah Tuaran, bayangkan kami berjaya daftar 2,000 anggota yang mempunyai DNA UMNO. Ini menunjukkan bahawa parti ini mendapat tempat di hati rakyat," katanya ketika ditemui Bernama sempena Perhimpunan Agung UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Ketika ini, UMNO Sabah mempunyai 580,752 anggota, dengan 207,858 daripadanya merupakan anggota biasa, 213,597 (Wanita), 92,840 (Pemuda) dan 66,457 anggota Puteri.

Hajiji yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Sabah berkata, parti baharu, misalnya Parti Warisan yang diterajui bekas menteri kabinet persekutuan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan Parti Harapan Rakyat Sabah pimpinan Datuk Lajim Ukin hanyalah sekadar mewarnai rencah politik di negeri itu dan tidak mampu memberi pengaruh yang besar.

"Pemimpin-pemimpin parti ini sendiri pun merupakan keluaran UMNO malah sesama mereka juga tidak bersatu di antara satu sama lain," katanya.

Pada pilihan raya yang lepas, BN mengekalkan momentum kecemerlangan di Sabah dengan memenangi 22 kerusi Parlimen, manakala DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) masing-masing hanya menang dua dan satu kerusi.

Bagi kerusi DUN, BN memperoleh kemenangan besar dengan meraih 48 kerusi, PKR (7), DAP (4) dan Parti Reformasi Negeri (Star) hanya satu.

-- BERNAMA