POLITIK › BERITA




PRU14: Gerakan Yakin Menang 5 Kerusi Parlimen, 12 Kerusi DUN


Tarikh kemaskini: 10/11/2017


KUALA LUMPUR, 10 Nov (Bernama) -- Gerakan yakin parti itu mempunyai peluang yang cerah untuk memenangi sekurang-kurangnya lima kerusi Parlimen dan 12 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang.

Presidennya, Datuk Seri Mah Siew Keong berkata keyakinan itu berdasarkan hasil kajian parti itu yang mendapati terdapat perkembangan positif sentimen pengundi Cina di peringkat akar umbi di seluruh negara terhadap kepimpinan kerajaan Barisan Nasional (BN).

Menurutnya, sokongan pengundi Cina terhadap BN telah meningkat kepada 30 peratus berbanding 15 peratus pada PRU13.

"Sokongan ini hasil daripada usaha parti memperjuangkan isu-isu rakyat dan yakin pengundi akan memberi kepercayaan kepada parti itu kali ini, katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Majlis Ahli Seumur Hidup Gerakan 2017 di Menara Parti Gerakan Rakyat Malaysia (PGRM), di sini, hari ini.

Pada PRU-13, Gerakan hanya mampu memenangi satu kerusi Parlimen dan tiga kerusi DUN sebelum menambah satu lagi kerusi Parlimen di Teluk Intan melalui pilihan raya kecil pada 2014.

Selain itu, Mah, yang juga Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, berkata Gerakan turut yakin mampu memberikan saingan yang kuat kepada DAP di Pulau Pinang pada PRU14.

Katanya, rakyat Pulau Pinang sudah bosan dengan politik DAP yang tiada prinsip dan pendirian tetap.

Menurutnya, kepimpinan DAP yang kini sanggup bekerjasama dengan seteru parti itu suatu ketika dahulu seperti bekas perdana menteri ,Tun Dr Mahathir Mohamad yang kini disanjung DAP, adalah antara faktor yang akan mengurangkan sokongan rakyat terhadap DAP.

-- BERNAMA