POLITIK › BERITA




Pakatan Harapan Belum Muktamadkan Pembahagian Kerusi D Johor


Tarikh kemaskini: 09/11/2017

MUAR, 9 Nov (Bernama) -- Pakatan harapan masih belum memuktamadkan pembahagian kerusi untuk Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) antara parti komponennya di negeri ini.

Timbalan Presiden Pakatan Harapan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Presiden PPBM berkata perbincangan mengenai pembahagian kerusi itu hampir selesai dan bakal dimuktamadkan dalam masa terdekat.

"Ada perkara yang belum diputuskan majlis presiden (pakatan harapan) pusat dan akan kami segerakan (muktamadkan pembahagian kerusi)," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Pakatan Harapan Negeri Johor di Pagoh di sini hari ini.

Ditanya tentang kriteria memilih parti mana untuk bertanding bagi kerusi Parlimen atau Dewan Undangan Negeri, beliau berkata kebolehan parti untuk menang kerusi terlibat diletakkan sebagai kriteria utama untuk pakatan itu.

Bagaimanapun katanya faktor calon boleh menang juga menjadi fokus utama, malah pakatan harapan akan meletakkan calon boleh menang di setiap kerusi yang akan ditandinginya pada PRU14.

"Tidak kira parti mana, kami mahu calon letak calon berkelayakan terbaik yang diterima pengundi, apapun masalah yang dihadapi itu (pembahagian kerusi dan pemilihan calon) kami selesai muafakat dalamkalangan parti," katanya.

Beliau berkata pakatan harapan akan memberi laluan untuk calon muda pada PRU14, namun dalam masa sama menegaskan perlunya calon berpengalaman untuk memastikan pakatan itu seimbang dan kukuh bagi melaksanakan amanah rakyat.

-- BERNAMA