POLITIK › BERITA




Ahmad Bashah Diminta Lepas Jawatan Presiden KFA


Tarikh kemaskini: 06/11/2017

ALOR SETAR, 6 Nov (Bernama) -- Pemuda UMNO Kedah hari ini memohon Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah mempertimbangkan untuk melepaskan jawatannya sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) dengan serta merta.

Ketuanya, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata permohonan itu dibuat agar sukan bola sepak negeri ini tidak terus dijadikan sebagai bahan politik oleh pihak-pihak tertentu.

Selain, Ahmad Bashah, yang juga Menteri Besar Kedah, pergerakan itu juga turut memohon semua kepimpinan UMNO termasuk barisan exco negeri yang menyandang jawatan dalam KFA supaya berundur.

"Ada pihak yang menjadikan bola sepak sebagai bahan politik dan UMNO selalu menjadi 'kambing hitam' dalam isu ini. Jadi, bagi menjaga nama baik parti kami minta supaya Ahmad Bashah melepaskan jawatannya," katanya pada sidang media khas yang turut dihadiri oleh 15 ketua bahagian pergerakan Pemuda UMNO negeri di sini hari ini.

Beliau berkata insiden Ahmad Bashah dimalukan dan disorak dengan laungan 'boo' oleh segelintir penyokong Kedah pada perlawanan akhir Piala Malaysia, Sabtu lalu sesuatu yang tidak dapat diterima dan biadap.

"Kita tidak sanggup melihat dia (Ahmad Bashah) terus dipermainkan walaupun banyak jasa dan sumbangan yang telah dicurahkan dalam sukan bola sepak sepanjang tempoh dua tahun pentadbirannya," katanya.

Shaiful Hazizy berkata pemohonan ini tidak pernah disuarakan kepada Ahmad Bashah namun selepas melihat insiden yang berlaku di Stadium Shah Alam itu, sudah tibanya masanya untuk beliau melepaskan jawatan sebagai presiden.

"Semua benda baik yang kita buat disalah tafsir jadi ini jalan yang terbaik. Lepas ini sesiapa sahaja boleh pegang jawatan dalam KFA tetapi bukan daripada pemimpim-pemimpin UMNO kerana tidak mahu ia terus menjadi pentas kepada isu politik," katanya.

Sementara itu, beliau meminta pihak Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menyiasat insiden penyokong Johor Darul Ta'zim (JDT) yang mengangkat kain rentang yang tertulis perkataan 'Haters' semasa lagu negeri Kedah dimainkan sebelum bermulanya perlawanan final Piala Malaysia.

"Setahu saya, kain rentang yang berunsur provokasi tidak boleh dibawa masuk. Jadi saya minta pihak yang bertanggungjawab untuk tampil memberi penjelasan dan membuat pemohonan maaf kepada rakyat Kedah," katanya.

Pada final tersebut, JDT menjulang trofi Piala Malaysia selepas mengalahkan Kedah 2-0.

-- BERNAMA