POLITIK › BERITA




Rakyat Perlu Terus Pertahan Kerajaan Sedia Ada


Tarikh kemaskini: 06/11/2017

TENOM, 6 Nov (Bernama) -- Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah Datuk Radin Malleh mahu rakyat, khususnya di negeri ini, terus mempertahankan kerajaan sedia ada diterajui Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya akan datang.

Radin berkata kerajaan pada hari ini mempunyai rekod pencapaian terbaik dalam membawa banyak pembangunan demi kesejahteraan dan keselesaan rakyat selain turut mendapat pengiktirafan daripada pelbagai pihak, justeru, tidak ada sebab rakyat ingin menukar kerajaan sedia ada.

Sehubungan itu, Radin mengingatkan rakyat supaya tidak mudah terpengaruh dengan kempen pihak pembangkang yang cuba mempengaruhi rakyat untuk mengubah kerajaan, sebaliknya mereka perlu terus bersatu padu memberi sokongan penuh tidak berbelah bahagi kepada kerajaan BN.

"Kerajaan BN berada pada landasan terbaik dan rakyat harus bersyukur (dengan nikmat pembangunan dikecapi sekarang)," katanya ketika ditemui selepas majlis penyampaian sumbangan keperluan makanan anjuran pasukan polis Tenom di sini, semalam.

Radin yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Melalap berkata kerajaan sentiasa komited untuk meningkatkan taraf hidup rakyat di kawasan luar bandar menerusi pelbagai program serta inisiatif pembangunan ekonomi dan sosial.

Dalam pada itu, Radin berkata kelulusan permohonan projek perumahan rakyat Termiskin (PPRT) dibuat berdasarkan semakan kelayakan pemohon yang dijalankan sebuah jawatankuasa dipengerusikan pegawai daerah di setiap kawasan.

"Ini bagi memastikan hanya penduduk benar-benar layak dipilih menerima bantuan itu," katanya dan menambah, sebanyak 15 unit rumah PPRT dibina di Tenom pada tahun ini.

-- BERNAMA