POLITIK › BERITA




Pembangkang Reka Tuduhan BN Perak Bawa Masuk Pengundi Hantu


Tarikh kemaskini: 10/10/2017

TELUK INTAN, 10 Okt (Bernama) -- Pembangkang reka tuduhan kononnya Barisan Nasional (BN) Perak membawa masuk lebih 50,000 pengundi hantu sebagai taktik untuk

menghasut rakyat negeri ini supaya tidak mengundi BN pada pilihan raya akan datang.

Anggota Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata tuduhan itu dilemparkan oleh Pengerusi DAP Perak Nga Kor Ming.

"Dia (Nga) buat cerita supaya pengundi hilang kepercayaan kepada BN dan rakyat mengundi (parti) mereka. itu sahaja matlamatnya. Jangan percaya cerita dongeng yang direka cipta oleh pihak pembangkang yang akan ditimbulkan mereka apabila pilihan raya semakin hampir.

"Sebagaimana yang diketahui, ini bukan kali pertama BN dikaitkan dengan tuduhan (membawa masuk warga asing sebagai pengundi) kerana sebelum ini pembangkang pernah mendakwa 40,000 warga Bangladesh menjadi pengundi pada Pilihan Raya Umum ke-13," katanya.

Tajuddin yang juga Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Universiti-Industri Program Jelajah Kesedaran 2u2i ke Sekolah peringkat negeri yang dianjurkan oleh Kolej Antarabangsa Taj di sini, hari ini.

Beliau mengulas tuduhan yang dilemparkan Nga terhadap BN melalui laman Twitter miliknya, minggu lepas.

-- BERNAMA