POLITIK › BERITA




JR Plus Bela Rakyat Tanpa Pilih Fahaman Politik - Shahrizat


Tarikh kemaskini: 07/10/2017

MELAKA, 7 Okt (Bernama) --Jalinan Rakyat (JR) Plus memainkan peranan penting membela rakyat terutama dalam menyalurkan segala permasalahan rakyat kepada kerajaan tanya memilih fahaman politik, kata Ketua Wanita UMNO, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil.

Beliau berkata walaupun JR Plus suatu mekanisme di bawah UMNO dan Barisan Nasional (BN), semua rakyat diberi peluang sama rata meluahkan masalah mereka untuk disampaikan kepada pemimpin tanpa mengira pegangan politik mereka.

"Jentera JR Plus perlu mesra rakyat kerana mereka bertindak sebagai jambatan yang menghubungkan rakyat dengan kerajaan agar pemasalahan yang dihadapi oleh rakyat sampai terus ke telinga kerajaan.

"Asas perjuangan utama JR Plus adalah untuk membela nasib rakyat dan dalam menjalankan tugas tersebut mereka (JR Plus) perlu turun bertemu dengan rakyat tanpa mengira musim," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu beliau menghadiri Majlis Pelancaran JR Plus Wanita UMNO Negeri Melaka di Bukit Katil di sini disempurnakan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron dan turut hadir bekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Mohd Ali Rustam yang juga Ketua UMNO Bahagian Bukit Katil.

Sementara itu, Idris berkata UMNO Negeri Melaka akan memberi sokongan penuh usaha JR Plus Negeri Melaka dalam menjalankan tugas mereka menemui pengundi-pengundi bagi memastikan kemenangan calon-calon BN pada Pilihan Raya Umum ke-14 nanti.

Beliau berkata UMNO Melaka juga mengiktiraf Wanita UMNO bukan sebagai sayap parti tetapi lebih sebagai tulang belakang kepada parti dan jentera utama parti bagi memastikan kemenangan kepada BN.

"Kita akan membantu dalam memastikan bahawa Wanita UMNO mendapat kelengkapan yang cukup bagi menjalankan tugas mereka bukan hanya di peringkat gerak kerja ke arah pilihanraya tetapi sehingga hari mengundi nanti," katanya.

-- BERNAMA