POLITIK › BERITA




Tiada Ruang Untuk Pengipas Dalam UMNO - Hishammuddin


Tarikh kemaskini: 13/08/2017

LABUAN, 13 Ogos (Bernama) -- Kemunculan 'Apple Polisher' atau 'Pengipas' dalam Umno adalah perkara biasa, tetapi elemen ini tidak sekali-kali akan dibiarkan terus wujud dalam parti.

Naib presiden Umno Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata sindrom 'mengipas' ini berlaku semata-mata untuk kepentingan peribadi orang-orang berkenaan.

"Pengipas ini mengipas (pemimpin parti), namun pimimpin parti tidak akan memberi laluan kepada mereka untuk mencapai matlamat peribadi, atau merosakkan kekuatan parti," kata Hishammuddin selepas mesyuarat perwakilan Umno Bahagian Labuan di sini hari ini.

Beliau yang juga Menteri Pertahanan berkata pemimpin utama parti - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, dan beliau sendiri telah menempuh banyak cabaran hingga pucuk pimpinan parti sedar wujudnya agenda tersembunyi orang tertentu.

"Orang-orang ini (pengipas) sebenarnya tidak menyokong Umno tetapi hanya hendak ?cari makan' atau melemahkan parti.

Hishammuddin sekali lagi menegaskan bahawa sebarang usaha untuk merosakkan hubungan dalam kalangan tiga pemimpin utama Umno itu tidak akan berjaya.

Dalam pada itu, Hishammuddin berkata, Sabah dan Labuan akan terus menjadi kubu Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum ke-14.

Beliau berkata perjuangan UMNO yang tidak berdasarkan kepentingan peribadi itu bukan sahaja untuk orang Melayu tetapi untuk semua kaum.

"Melalui perpaduan di kalangan rakyat dan anggota parti, kita yakin BN akan menang dengan majoriti lebih besar," kata beliau.

Beliau berkata perpaduan anggota-anggota UMNO Bahagian Labuan boleh menjadi contoh kepada negeri-negeri lain di seluruh negara.

Hishamuddin berkata anggota UMNO bekerja keras untuk berkhidmat kepada rakyat dan 'usaha kuat' mereka akan menjamin kemenangan BN pada PRU14.

Sementara itu, beliau menegaskan UMNO telah meletakkan negara di tahap yang lebih tinggi hingga mendapat pengiktirafan antarabangsa.

"Kepimpinan Datuk Seri Najib yang diiktiraf antarabangsa membolehkan beliau menerima jemputan Presiden Amerika Syarikat Donald Trumph pada September," kata beliau.

-- BERNAMA