BERNAMA › BERITA




Pemandu Maut Tersepit Di Bawah Kepala Lori


Tarikh kemaskini: 10/02/2018

KUANTAN, 9 Feb (Bernama) -- Sehingga pukul 9.30 malam ini, mayat seorang pemandu lori masih tidak dapat dikeluarkan dari bawah kepala lori dipandunya yang terbabas dan terbalik sebelum termasuk ke dalam belukar di Jalan Kuantan-Kemaman berhampiran Kampung Sungai Ular di sini, kira-kira pukul 1.40 tengah hari tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Gebeng Syed Jamaluddin Syed Mohamed berkata sehingga pukul 9.30 malam ini usaha untuk mengeluarkan mayat mangsa Muhammad Jamil Lango, 35, berasal dari Sabah masih giat dilakukan.

"Bomba sebelum ini menerima panggilan pada pukul 1.46 tengah hari yang melaporkan tentang kemalangan melibatkan sebuah lori yang terbabas di kawasan itu dan sebaik tiba kita mendapati terdapat seorang mangsa terperangkap di bawah kepala lori.

"Usaha untuk mengeluarkan mayat mangsa bagaimanapun berhadapan dengan kesukaran berikutan kawasan kemalangan itu merupakan tanah gambut dan berpaya menyebabkan kepala lori berkenaan terbenam di dalam tanah yang memerlukan jentera berat untuk mengangkat kenderaan itu," katanya ketika dihubungi di sini malam ini.

Menurutnya lebih 30 anggota bomba dan polis bertungkus lumus untuk mengeluarkan mayat mangsa dan mereka turut dibantu tiga jentera berat dari Taman Industri Kuantan Malaysia-China yang terletak berhampiran dengan kawasan kejadian.....