BERNAMA › BERITA




Kastam Kelantan Rampas Rokok Seludup Bernilai RM187,000


Tarikh kemaskini: 14/01/2018


KOTA BHARU, 14 Jan (Bernama) -- Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan merampas 13,810 karton rokok seludup bernilai RM187,044 menerusi dua operasi berasingan di Setiu, Terengganu dan Gua Musang, Kelantan dalam tempoh dua minggu pertama tahun ini.

Pengarahnya Datuk Mohd Nasir Yusoff berkata dalam operasi yang dilaksanakan semalam, pasukan operasi Cawangan Penguatkuasaan Kota Bharu telah mengejar dan menahan sebuah lori yang disyaki membawa rokok seludup di hadapan sebuah sekolah di Batu 29, Jalan Kota Bharu-Terengganu, Setiu, pada 3.40 pagi.

"Pemeriksaan ke atas lori yang digunakan suspek lelaki warga tempatan berumur 47 tahun itu menemukan 5,400 karton rokok, dianggarkan bernilai RM86,400 dengan jumlah cukai dianggarkan bernilai RM486,000," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat JKDM negeri di Padang Bongor di sini, hari ini.

Sementara itu, pada 8 Jan lepas kastam turut menahan sebuah lori di Gua Musang dan hasil pemeriksaan menemui 8,410 karton rokok bernilai RM100,644 dengan jumlah cukai dianggarkan sebanyak RM707,037.84

Katanya dalam kejadian kira-kira 2.15 petang itu, bagaimanapun pemandu dan kelindan lori terbabit berjaya melarikan diri.

Mohd Nasir berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967 kerana memiliki rokok seludup yang membawa hukuman denda maksimum 20 kali ganda nilai barangan atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya.

Beliau berkata taktik terbaharu sindiket penyeludupan adalah menyembunyikan rokok yang diseludup dalam kotak cawan pakai buang dan tayar terpakai untuk mengaburi mata pihak berkuasa.

"Mereka juga menggunakan jalan darat selepas kita melaksanakan operasi khas di sempadan Malaysia-Thailand di Tumpat dan Rantau Panjang, Pasir Mas ketika ini.

"Selepas ini kita akan melaksanakan operasi khas di kawasan sempadan Kelantan, Terengganu, Pahang dan Perak pula bagi mengekang kegiatan penyeludupan rokok serta mercun yang mendapat permintaan tinggi sempena sambutan Tahun Baharu Cina," katanya.

-- BERNAMA