BERNAMA › BERITA




Najib Bertemu Pemimpin Gerakan Bincang Isu PRU14


Tarikh kemaskini: 14/01/2018


Perdana Menteri merangkap Pengerusi Barisan Nasional, Datuk Seri Najib Tun Razak bersalam dengan kepimpinan Parti Gerakan ketika hadir ke mesyuarat tertutup serta lawatan kerja beliau ke Parti Gerakan Malaysia di Menara PGRM

KUALA LUMPUR, 14 Jan (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengadakan pertemuan tertutup dengan pemimpin tertinggi Parti Gerakan di ibu pejabat parti itu di sini bagi membincangkan isu-isu berkaitan pilihan raya umum ke-14 (PRU14) .

Ketibaan Najib yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) pada kira-kira 10:30 pagi disambut Presiden Gerakan Datuk Seri Mah Siew Keong.

Difahamkan, dalam pertemuan tertutup kira-kira sejam itu, Mah membentangkan mengenai strategi parti dalam menghadapi PRU14, disusuli amanat khas perdana menteri kepada kepimpinan parti.

Pada PRU13, Gerakan bertanding di 12 kerusi Parlimen dan 33 Dewan Undangan Negeri (DUN).

Awal bulan ini, Gerakan buat julung kalinya mengadakan perhimpunan bersama MCA yang dihadiri pemimpin tertinggi parti dan anggota akar umbi daripada kedua-dua parti, bertujuan menunjukkan perpaduan parti dan menjalin kerjasama bagi menghadapi PRU14.

-- BERNAMA