BERNAMA › BERITA




Mangsa Banjir Johor Kini Cecah 1,245 Orang


Tarikh kemaskini: 13/01/2018

JOHOR BAHRU, 13 Jan (Bernama) -- Jumlah mangsa banjir di Johor meningkat kepada 1,245 orang daripada 322 keluarga malam ini berbanding 1,122 orang daripada 306 keluarga, petang tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Pendidikan dan Penerangan negeri, Datuk Ayub Rahmat berkata setakat 10 malam ini, 13 pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di daerah Mersing, Segamat dan Kota Tinggi.

"Seramai 1,111 orang berada di lapan PPS di Mersing, 103orang di empat PPS di Segamat manakala 31 orang di sebuah PPS di Kota Tinggi," katanya dalam kenyataan di sini.

Menurutnya, mangsa banjir di Mersing merupakan penduduk di Kampung Tenglu Besar, Kampung Air Papan, Kampung Baru Jemari, Kampung Sungai Muka Dua, Kampung Orang Asli Labong dan Kampung Air Merah yang terjejas secara berperingkat mulai dua hari lepas.

Beliau berkata kesemua mereka ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Tenglu, SK Air Papan, Sekolah Agama Pengkalan Batu, Sekolah Agama Mersing Kanan, SK Labong, Balai Raya Kampung Air Merah, Balai Raya Kampung Benaung dan SK Mersing Kanan.

Katanya, mangsa banjir di Segamat merupakan penduduk dari Kampung Seberang Batu Badak, Kampung Pogoh dan Kampung Tekam yang ditempatkan di Balai Raya Gemereh 4 Batu Badak, Balai Raya Kampung Pogoh Tengah, Kompleks Penghulu Mukim Pogoh dan Pusat Aktiviti Belia Kampung Tekam.

"Di Kota Tinggi, kawasan yang terjejas adalah Kampung Perepat dan mangsa ditempatkan di PPS Balai Raya Kampung Perepat yang dibuka sejak 1.30 tengah hari tadi," katanya.

Menurut Ayub, setakat ini tiada sekolah dilaporkan terjejas dan sesi persekolahan boleh diteruskan seperti biasa, esok.

Katanya, Jalan Telok Arong di Mersing masih ditutup sepenuhnya akibat runtuhan cerun dan orang ramai boleh menggunakan laluan alternatif iaitu Jalan Tanjung Resang-Jalan Mersing/Endau-Jalan Air Papan.

Laluan ke Kampung Batu 7 di Jementah, Segamat turut terputus hubungan akibat dinaiki air dan pemantauan sedang dilakukan berterusan oleh agensi berkaitan serta Pejabat Daerah.

-- BERNAMA