BERNAMA › BERITA




Lebih 500 Profesional Kewangan Akan Diiktiraf FAA - Penolong Gabenor BNM


Tarikh kemaskini: 07/12/2017

KUALA LUMPUR, 7 Dis (Bernama) -- Lebih 500 profesional industri kewangan dijangka diiktiraf Agensi Akreditasi Kewangan (FAA) dalam tempoh 12 bulan akan datang, kata Penolong Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Jessica Chew.

"Setakat ini, FAA telah melatih dan mengesahkan lebih 200 profesional sejak akreditasi individu ditambah kepada penyelesaian FAA tahun ini," kata Chew dalam ucapan pada majlis sambutan ulang tahun kelima agensi itu di sini hari ini.

Chew, yang juga Pengerusi Lembaga Pengarah FAA, berkata agensi itu telah mengiktiraf lebih daripada 100 program akreditasi yang ditawarkan oleh 50 institusi kewangan, penyedia latihan industri dan institusi pengajian tinggi.

"FAA juga memainkan peranan dalam menyebarkan dan mempromosikan amalan terbaik antarabangsa dalam jaminan kualiti dan akreditasi melalui kerjasama dengan badan kebangsaan, serantau dan antarabangsa," katanya sambil menambah bahawa agensi itu kini menyediakan penyelesaian akreditasi di 15 negara, selain Malaysia.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif FAA Khairul Nizam Md Som berkata agensi itu telah diberi kuasa untuk menjalankan jaminan kualiti, serta penilaian dan akreditasi latihan berkaitan kewangan dan program akademik serta pensijilan pembangunan profesional.

"Kami mengukuhkan sokongan kami untuk industri perkhidmatan kewangan bagi memberi inspirasi dan menggalakkan kualiti tertinggi dalam pendidikan dan pembangunan profesional secara berterusan, menerusi amalan, penyelesaian dan rangka kerja akreditasi serta jaminan kualiti yang ditanda aras di peringkat global," katanya.

-- BERNAMA