BERNAMA › BERITA




Lapan Rumah Musnah Kebakaran Di Lahad Datu


Tarikh kemaskini: 11/11/2017

LAHAD DATU, 11 Nov (Bernama) -- Kira-kira 40 penduduk tinggal sehelai sepinggang selepas lapan rumah setinggan di Kampung Durian Batu 2 di sini musnah dalam kebakaran, tengah malam tadi.

Bagaimanapun kejadian 12.30 pagi itu tidak membabitkan sebarang kemalangan jiwa.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Lahad Datu, Mohd Apandi Mahmood berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pada jam 12.53 pagi dan 11 anggota bergerak ke lokasi kejadian bersama dua jentera bomba serta dua kenderaan utiliti.

"Api berjaya dipadamkan pada jam 2.30 pagi dan operasi tamat pada 7.37 pagi," katanya dalam kenyataan di sini.

Menurutnya punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.

-- BERNAMA