BERNAMA › BERITA




Musibah Awal Pagi Di Kuala Perlis


Tarikh kemaskini: 11/11/2017


KUALA PERLIS, 11 Nov (Bernama) -- Sebanyak 15 buah rumah termasuk sebuah rumah kedai musnah dalam kebakaran di Kampung Seberang Tok Pi, dekat sini awal pagi ini.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Perlis Mohd Fadzil Haroon berkata, pihaknya menerima panggilan pada 2.37 pagi dan sampai ke lokasi pada 2.43 pagi.

Mohd Fadzil berkata operasi memadamkan kebakaran yang turut memusnahkan sebuah bot nelayan itu dapat dikawal sejam kemudian.

"Sebanyak tiga balai bomba terlibat iaitu dari Simpang Empat, Kuala Perlis dan Kangar dengan tiga jentera dikejarkan ke tempat kejadian," katanya kepada pemberita di lokasi kejadian di sini, hari ini.

Sebanyak enam Pasukan Bomba Sukarela (PBS) di sekitar Perlis dan Kedah turut membantu memadamkan kebakaran.

Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan punca kebakaran juga masih disiasat, katanya.

-- BERNAMA