BERNAMA › BERITA




Tiba Awal Sebelum Waktu Berlepas Elak Kesesakan - Airasia


Tarikh kemaskini: 10/11/2017

KUALA LUMPUR, 10 Nov (Bernama) -- Pelanggan penerbangan AirAsia disaran tiba di lapangan terbang sekurang-kurangnya tiga jam sebelum waktu pelepasan, dan empat jam bagi penerbangan AirAsia X untuk mengelakkan kesesakan yang dijangka berlaku semasa musim cuti sekolah ini.

Dalam kenyataan hari ini, AirAsia berkata saranan itu dibuat bagi pelanggan melepasi kesemua formaliti penerbangan.

"AirAsia ingin mengingatkan para tetamu supaya melaksanakan daftar masuk sendiri sama ada melalui web, aplikasi mudah alih atau kios daftar masuk bagi memudahkan perjalanan mereka berikutan kerja-kerja menaik taraf kaunter sedia ada di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) mulai 20 Nov, 2017.

"Daftar masuk sendiri boleh dilakukan 14 hari sebelum tarikh penerbangan dan satu jam sebelum waktu pelepasan bagi semua penerbangan AirAsia, dan sehingga empat jam sebelum waktu pelepasan bagi kesemua penerbangan AirAsia X," menurut AirAsia.

Sementara itu, AirAsia berkata, penumpang boleh menggunakan pilihan khidmat layan diri, termasuk daftar masuk sendiri dan tag bagasi sendiri yang tersedia di lapangan terbang, antaranya klia2, Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi, Lapangan Terbang Antarabangsa Senai dan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang.

Setiap pelanggan (kecuali bayi) hanya dibenarkan membawa satu beg kabin (tidak melebihi dimensi 56 x 36 x 23 sentimeter) dan satu beg komputer riba atau beg tangan ke dalam pesawat dengan jumlah kedua-dua beg yang dibenarkan tidak melebihi tujuh kilogram).

-- BERNAMA