BERNAMA › BERITA




Banjir: Bukti Kerajaan 'Buta Warna' Dalam Membantu Rakyat - Zahid


Tarikh kemaskini: 10/11/2017


PUTRAJAYA, 10 Nov (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata misi bantuan berterusan daripada jabatan dan agensi kerajaan ke negeri dilanda banjir membuktikan kerajaan persekutuan 'buta warna' dalam hal membantu rakyat.

Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri berkata selain menterjemah komitmen kerajaan membantu mereka yang ditimpa musibah, bantuan itu sebenarnya dilakukan atas rasa kemanusiaan yang tinggi terhadap kesusahan orang lain.

"Saya ucapkan terima kasih kepada jabatan, agensi atau badan-badan bukan kerajaan yang sentiasa prihatin dengan nasib masyarakat walaupun negeri yang dilanda musibah dipimpin parti politik yang berbeza daripada kerajaan pusat.

"Malah, saya juga menolak jika ada pihak yang pertikai kelewatan kerajaan persekutuan, kononnya lambat dalam menyalur bantuan sedangkan kita lebih awal berada di sana daripada pihak yang menuduh," katanya ketika berucap pada majlis pelepasan konvoi bantuan bencana banjir ke Pulau Pinang dan Kedah di perkarangan bangunan Kementerian Dalam Negeri di sini hari ini.

Misi melibatkan 40 anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) daripada Kelab Bantuan Bencana Pacuan Empat Roda (4X4) Rimau Akar Putrajaya itu menggunakan 15 kenderaan, dengan membawa pelbagai barangan dan sumbangan bernilai lebih RM83,000 bertujuan membantu proses pembersihan rumah dan meringankan beban mangsa banjir.

Ahmad Zahid berkata kenyataan bersifat politik itu tidak harus timbul ketika Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, menteri-menteri kabinet dan beliau sendiri turun ke negeri tersebut, malah berada dan bertemu rakyat di lokasi yang dilanda bencana.

Beliau berkata wakil kerajaan telah berada lebih awal di sana, malah lebih awal sebelum menerima panggilan 'tangisan' daripada pemimpin berkenaan.

Timbalan Perdana Menteri berkata dakwaan sebegitu seolah-olah mahu menunding jari kepada pihak kerajaan, sedangkan mereka juga ada kelemahan yang turut menjadi faktor musibah itu berlaku.

Ahmad Zahid juga berpendapat banjir di Pulau Pinang berlaku disebabkan pembangunan yang berlebihan sehingga mendorong hakisan, sekaligus menyekat laluan sungai untuk mengalirkan air ketika hujan lebat.

"Pada saya, janganlah dipolitikkan, dimanipulasi isu ini kerana dalam keadaan bencana, kepentingan mangsa banjir harus diberi keutamaan," katanya.

Majlis pelepasan turut dihadiri Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri Datuk Seri Alwi Ibrahim, Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan Mohamed dan Ketua Pengarah Rela Zulkifli Abidi.

-- BERNAMA