BERNAMA › BERITA




Tubuh Suruhanjaya Perumahan Negara Tangani Isu Perumahan


Tarikh kemaskini: 10/11/2017

PUTRAJAYA, 10 Nov (Bernama) -- Jabatan Perumahan Negara perlu dinaik taraf kepada Suruhanjaya Perumahan Negara bagi menangani isu perumahan yang meresahkan golongan berpendapatan 40 peratus terbawah terutamanya generasi muda.

Ketua Kluster Kejuruteraan, Teknologi dan Alam Bina, Majlis Profesor Negara (MPN), Prof Datuk Dr Alias Abdullah berkata sebagai sebuah suruhanjaya, entiti itu akan mempunyai lebih kuasa untuk merancang dan melaksanakan projek perumahan serta mengawal harga rumah.

"Dengan ini, ia akan menjadi satu-satunya entiti yang menguruskan isu perumahan di negara ini tanpa memerlukan kelulusan daripada kementerian untuk melaksanakan sesuatu inisiatif," katanya selepas perbincangan meja bulat Pemilikan Rumah Kreatif Pasca Bajet 2018, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Alias berkata semua inisiatif kerajaan dalam penyediaan perumahan mampu milik seperti Projek Perumahan Rakyat (PPR) boleh diletakkan di bawah bidang kuasa suruhanjaya tersebut.

Sementara itu, perbincangan meja bulat anjuran MPN itu antara lain turut mencadangkan agar satu pangkalan data permintaan dan penawaran rumah di negara ini diwujudkan bagi memastikan projek perumahan dilaksanakan memenuhi permintaan bakal pembeli terutamanya yang berpendapatan 40 peratus terendah.

Presiden MPN Prof Datuk Dr Raduan Che Rose, bagaimanapun berkata usaha membangunkan pangkalan data seperti itu memerlukan kerjasama menyeluruh daripada pihak industri terutama pemaju perumahan.

"Kita perlu mendapat gambaran secara menyeluruh (data yang perlu dikumpulkan), perlu ada kerjasama dengan pihak industri," katanya.

Mengulas mengenai cadangan Setiausaha Kehormat Persatuan Pembeli Rumah Malaysia, Chang Kim Loong, supaya kerajaan menetapkan margin keuntungan pemaju seperti yang dikuatkuasakan di beberapa negara lain, Raduan berkata cadangan itu mampu menurunkan harga rumah jika ia dilaksanakan.

"Di United Kingdom, margin keuntungan ditetapkan adalah 17 peratus tetapi ada perkiraan lain yang kita tidak tahu dan perlu didalami lagi. Bagaimanapun, kita memerlukan keazaman politik untuk berbuat demikian,? katanya.

Sementara itu, Chang juga mencadangkan agar Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) turut berfungsi sebagai pembiaya pinjaman perumahan memandangkan sesetengah golongan sukar mendapatkan pinjaman bank berikutan kekangan kadar pendapatan.

"Kita semua mencarum dalam KWSP dan itu wang kita. Kenapa KWSP tidak meminjamkan wang kepada pencarum dan jika mereka menjual harta itu, mereka boleh membayar balik pinjaman.

"Sekiranya peminjam meninggal dunia, syarikat insurans gadai janji secara automatik akan membayar pinjaman kepada KWSP. Anggap KWSP sebagai pembiaya, itu satu cara untuk menyelesaikan isu ini," kata Chang.

Isu peningkatan harga rumah yang berdekatan dengan kemudahan pengangkutan awam turut diberi perhatian dalam perbincangan itu, dengan rata-rata ahli panel menganggap ia sebagai satu bebanan kepada golongan berpendapatan rendah dan sederhana sehingga memaksa mereka membeli rumah di pinggir bandar.

Menurut mereka, sesetengah pemaju menggunakan pengangkutan awam sebagai satu daripada alat pemasaran mereka untuk meningkatkan harga rumah.

Ahli panel lain yang turut terlibat ialah Pengerusi Malaysia Property Press Awards B. Gunaprasath, Ketua Pegawai Eksekutif REI Group of Companies Dr Danielle Gambero, Pengarah Eksekutif CILT Venture Abi Sofian Abdul Hamid dan Pengarah Eksekutif Perception Management Sdn BHd T. Shanthi.

-- BERNAMA