BERNAMA › BERITA




Mangsa Banjir Di Pulau Pinang Terus Berkurangan


Tarikh kemaskini: 10/11/2017


Mangsa banjir beratur untuk mendapatkan bantuan harian di pusat pemindahan di Pejabat Daerah Seberang Perai Tengah
GEORGE TOWN, 10 Nov (Bernama) -- Sejumlah 1,987 mangsa daripada 486 keluarga masih ditempatkan di pusat pemindahan banjir di negeri ini, berkurang berbanding 2,409 pada malam tadi.

Jurucakap bilik gerakan banjir polis berkata hingga 8 pagi ini, kesemua mangsa banjir itu ditempatkan di 16 pusat sementara di Seberang Perai Tengah (SPT) dan Seberang Perai Utara(SPU).

"Di SPU terdapat 1,694 mangsa daripada 375 keluarga masih ditempatkan di 10 pusat pemindahan manakala seramai 293 mangsa membabitkan 111 keluarga berlindung di enam pusat pemindahan di SPT," katanya di sini hari ini.

Cuaca di Pulau Pinang cerah dan baik.

Ahad lepas, hampir keseluruhan kawasan di Pulau Pinang terjejas akibat banjir dengan beberapa kawasan ditenggelami air antara 0.2 dan satu meter, diikuti angin kencang dan hujan lebat sejak Sabtu yang turut menumbangkan puluhan pokok.

Hingga kini, kejadian banjir yang dikatakan terburuk di negeri ini telah meragut tujuh nyawa.

-- BERNAMA