BERNAMA › BERITA




IJN Perlu RM4.5 Juta Setahun Bantu Golongan Kurang Berkemampuan


Tarikh kemaskini: 07/10/2017

KLANG, 7 Okt (Bernama) -- Yayasan Institut Jantung Negara (IJN) memerlukan RM4.5 juta setahun bagi menampung kos perubatan golongan tidak berkemampuan yang mendapat rawatan jantung di IJN.

Pengerusi Yayasan IJN Toh Puan Dr Aishah Ong berkata bagi 2016, sejumlah RM4 juta dibelanjakan bagi menampung kos perubatan dan pembedahan 157 pesakit yang kurang berkemampuan.

"Jumlah berkenaan melibatkan 80 pesakit dewasa dan 77 pesakit kanak-kanak," katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Penyerahan Sumbangan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) kepada Yayasan IJN di Dewan Orang Ramai Kampung Sungai Serdang, Kapar di sini hari ini.

Majlis diadakan serentak dengan program kesedaran kesedaran "100% Sayangi Jantungku" yang turut menawarkan pemeriksaan kesihatan percuma selain ceramah penjagaan jantung kepada penduduk di sekitar Kampung Sungai Serdang dan Kampung Tok Muda, Kapar.

Dr Aisyah berkata selain menampung kos perubatan golongan kurang berkemampuan, Yayasan IJN turut aktif dalam menyumbang dana bagi kajian-kajian yang dijalankan oleh pakar-pakar perubatan di IJN.

"Kajian yang dilakukan oleh pakar-pakar di IJN merupakan antara faktor mengapa IJN diiktiraf antara pusat rawatan jantung terkemuka di rantau ini," katanya.

Pada majlis berkenaan, PKNS menyumbang zakat perniagaan berjumlah RM100,000 kepada Yayasan IJN yang diserahkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Wang Zakat PKNS, Siti Zubaidah Abdul Jabar.

Siti Zubaidah ketika ditemui berkata pengagihan semula wang zakat perniagaan oleh PKNS kepada Yayasan IJN adalah bagi memenuhi keperluan yayasan dalam membantu pesakit Islam yang dikategorikan sebagai 'Asnaf Gharimin'.

"PKNS komited menyalurkan sumbangan dalam perubatan bukan sahaja kepada Yayasan IJN tetapi juga kepada tabung-tabung perubatan yang lain," katanya.

-- BERNAMA