BERNAMA › BERITA




Unit Deleum Peroleh Kontrak Perkhidmatan Daripada Petronas Carigali


Tarikh kemaskini: 05/10/2017

KUALA LUMPUR, 5 Okt (Bernama) -- Anak syarikat Deleum Bhd, Deleum Primera Sdn Bhd, memperoleh kontrak penyediaan perkhidmatan penyelenggaraan, pembinaan dan pengubahsuaian, daripada Petronas Carigali Sdn Bhd.

Dalam satu kenyataan di sini, syarikat itu berkata kontrak utama adalah selama lima tahun, dengan opsyen lanjutan setahun, berkuat kuasa dari 20 Sept, 2017 hingga 19 Sept, 2022, pada jadual kadar tetap yang dipersetujui.

"Kami menjangkakan kontrak baharu ini - Pakej C (Luar Pesisir) Semenanjung Malaysia Gas - akan memberi sumbangan positif kepada pendapatan sepanjang tempoh kontrak," kata Deleum.

Butiran skop kerja berkaitan kontrak, akan dimasukkan dalam perintah kerja yang akan dikeluarkan oleh Petronas Carigali, termasuk mana-mana atau semua kerja dan perkhidmatan lain yang umumnya berkaitan dengan penyelenggaraan struktur atas, penyambungan dan pengoperasian dan kemudahan program penambahbaikan.

Deleum, pembekal pelbagai produk dan perkhidmatan khas yang menyokong industri minyak dan gas, mencatatkan pendapatan bersih sebanyak RM8.0 juta pada suku kedua berakhir 30 Jun 2017 berbanding RM13.3 juta suku yang sama pada tahun sebelumnya.

-- BERNAMA