BERNAMA › BERITA




Kecemerlangan TNB Bertaraf Dunia -- Najib


Tarikh kemaskini: 17/07/2017


KUALA LUMPUR, 17 Julai (Bernama) -- Kejayaan Tenaga Nasional Bhd (TNB) dalam menyediakan perkhidmatan yang cemerlang sehingga berjaya menembusi pasaran antarabangsa melayakkan gergasi utiliti negara berkenaan tergolong sebagai syarikat bertaraf dunia, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri berkata, kecemerlangan TNB turut diiktiraf di peringkat antarabangsa apabila berjaya melonjak 15 anak tangga ke tangga 24 tahun ini berbanding 39 sebelum ini dalam kedudukan Global Top 50 Utility Brands 2017 yang dikeluarkan oleh Brand Finance yang berpangkalan di London.

Najib berkata nilai jenama syarikat utiliti berkenaan meningkat dengan ketara sebanyak 33 peratus kepada RM7 bilion berbanding RM5.26 bilion tahun lepas.

"Kejayaan ini menunjukkan bahawa apa yang dilakukan TNB kebelakangan ini telah membawa keberhasilan yang terbukti boleh dinilai," kata beliau pada majlis Jamuan Hari Raya TNB di sini hari ini.

Turut hadir ialah isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor, Pengerusi TNB Tan Sri Leo Moggie, Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif TNB Datuk Seri Azman Mohd serta kakitangan TNB.



Najib berkata, TNB sebagai sebuah organisasi korporat berkaitan kerajaan mempunyai dua fungsi utama iaitu membekalkan keperluan tenaga kepada rakyat sekaligus menjana keperluan ekonomi, industri dan sektor-sektor penting.

"Kedua, bagaimana nilai syarikat boleh ditingkatkan sebagai sebuah syarikat yang disenaraikan di bursa saham yang sekarang nilainya RM80 bilion.

"Ini bererti bahawa sebagai sebuah organisasi, TNB tidak boleh berada dalam keadaan statik dan perlu menjadi organisasi dinamik yang ingin mendahului pesaing lain," katanya.

Sehubungan itu, perdana menteri mahu TNB sentiasa berinovasi dan sentiasa menilai kekuatan dan kelemahannya dari semasa ke seamasa untuk kekal berdaya saing.

Selain Malaysia, TNB turut mempunyai pelaburan di Turki, United Kingdom, Arab Saudi dan India.

-- BERNAMA