BERNAMA › BERITA




SEDA Gesa Sekolah, NGO Mohon Kuota Solar PV Komuniti



KUALA LUMPUR, 5 April (Bernama) -- Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari Malaysia (SEDA) menggesa sekolah, badan agama dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), yang memiliki premis sendiri untuk memohon kuota Solar PV Komuniti sebagai kaedah menjana pendapatan jangka panjang.

Pengerusi SEDA Datuk Dr Yee Moh Chai dalam satu kenyataan hari ini berkata dengan melabur dalam pemasangan dan penjualan tenaga yang dijana itu kepada syarikat utiliti, mereka dapat menjana pendapatan bagi tempoh 12 tahun akan datang.

"Ketika ini di Sabah, terdapat kira-kira 35 sekolah, badan agama dan NGO yang telah diberikan dan diluluskan kuota Solar PV Komuniti.

"Antara sekolah yang mendapat manfaat daripadanya ialah SJKC Chung Hwa Kota Kinabalu. Sejak 2015, sekolah itu menikmati purata pendapatan kira-kira RM3,000 setiap bulan daripada jualan tenaga dijana daripada pemasangan Solar PV 24 kilowat," katanya.

Yee berkata tahun ini, SEDA Malaysia memperuntukkan lima megawat di bawah kuota komuniti dan permohonan bagi Tarif Galakan (FiT) di bawahnya dibuka sehingga 30 Ogos.

-- BERNAMA