ARKIB › SENARAI BERITA




Oleh Mohd Shukri Ishak

Pewarta Bernama di Jakarta, Mohd Shukri Ishak berkongsi kisahnya dari ibu negara Indonesia.

JAKARTA (Bernama) -- Jakarta, kota raya yang mempunyai penduduk lebih 10.7 juta orang pastinya berdepan dengan pelbagai isu berkaitan keselamatan dan urusan kawalan lalu lintas yang bukan mudah untuk diuruskan.

Namun, peranan anggota pengawal keselamatan dan "petugas trafik" ternyata begitu terserlah dalam membantu menangani lalu lintas yang luar biasa sesak di kota yang pernah dipanggil sebagai Batavia itu.

Hampir di setiap persimpangan dan laluan pusingan 'U', akan terlihat 'petugas trafik' ini mengawal lalu lintas, membantu pemandu untuk membuat pusingan 'U' atau memasuki persimpangan jalan. Tanpa kehadiran mereka, pemandu mungkin terpaksa menunggu berjam-jam lama untuk membuat pusingan U atau memasuki simpang

Bagaimanapun, petugas trafik ini bukanlah anggota polis trafik. Mereka adalah orang awam yang menjadikan kerja mengendalikan trafik di kota raya yang sesak ini sebagai punca pendapatan bergantung kepada sumbangan ikhlas para pemandu kenderaan.





"Petugas trafik", Saiefudin, 27, berkata dia memperolehi pendapatan hingga Rp150 ribu (RM45) sehari.


Oleh Rohana Nasrah

BEAUFORT (Bernama) -- Selama bertahun-tahun lamanya Beaufort kelihatan sepi dengan kebanyakan penduduknya bergantung hidup kepada bidang pertanian dan perikanan.

Terletak di kawasan pedalaman barat daya Sabah dan kira-kira 97 kilometer dari Kota Kinabalu, bandar ini bagaimanapun semakin menyaksikan peningkatan ketara status sosioekonomi penduduknya.

Terdapat kira-kira 53 buah kampung di Beaufort dengan jumlah penduduk 80,000 orang.

Menurut pegawai daerah Beaufort, Mohd Shaid Othman, berdasarkan statistik, kadar kemiskinan di bandar itu menunjukkan penurunan tahunan.

Bilangan penduduk yang dikategorikan sebagai miskin di Beaufort menurun kepada 1,289 pada Januari tahun ini berbanding 1,606 pada November 2016. Manakala, di daerah kecil Membakut, jumlah itu berkurangan kepada 328 daripada 360 untuk tempoh yang sama.


Oleh Vikneswaran Raman

PETALING JAYA (Bernama) -- Anggota masyarakat dan sesiapa sahaja yang jarang mengambil bahagian dalam aktiviti sukan serta kecergasan tanpa persediaan atau latihan yang betul lebih mudah mengalami kecederaan.

Menurut Pakar Bedah Ortopedik Pusat Perubatan Subang Jaya (SJMC) Dr Mohd Rusdi Abdullah, daripada purata 800 kes kecederaan yang berkait dengan aktiviti sukan yang dirawatnya di hospital itu setiap tahun, hanya 10 peratus melibatkan atlet profesional manakala selebihnya "penggemar sukan hujung minggu atau yang kurang bersedia untuk aktiviti lasak."

"Saya mengendalikan kira-kira 800 kes setahun dengan purata kira-kira 30 peratus daripada pesakit itu memerlukan pembedahan, manakala selebihnya memerlukan rawatan konservatif (bukan pembedahan) seperti fisioterapi, suntikan, sokongan dan pengambilan ubat. Biasanya kami akan cuba kaedah bukan pembedahan terlebih dahulu, tetapi jika tiada tanda pemulihan maka kami akan memilih pembedahan bergantung kepada tahap parah dan faktor lain.

"Selalunya, penggemar sukan hujung minggu tidak melatih badan mereka untuk aktiviti sukan lasak. Jadi, otot mereka tidak mantap, tidak ada aktiviti memanaskan badan atau regangan yang sesuai, peralatan sukan tidak mencukupi atau tidak betul, serta tidak memakai kasut yang sesuai, "katanya kepada Bernama dalam satu wawancara eksklusif di SJMC di sini.

Sarjana dalam bidang Pembedahan Ortopedik dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang mempunyai lebih dari satu dekad pengalaman dalam amalan ortopedik itu menegaskan bahawa regangan, pemanasan dan penyejukan badan adalah sama pentingnya dengan melakukan aktiviti untuk mencegah kecederaan.


Oleh Shakir Husain

NEW DELHI (Bernama) -- Bollywood adalah cantuman dari dua perkataan iaitu Bombay, kini dikenali sebagai Mumbai dan Hollywood. Mumbai menjadi tempat kediaman kebanyakan pengarah, pengeluar serta bintang filem Hindi.

Ada yang menganggap perkataan Bollywood itu seolah-olah merendahkan martabat industri filem India yang bukan sahaja tersohor tetapi mempunyai identitinya yang tersendiri.

Bagaimana ada juga kebenaran yang Bollywood turut mencari inspirasi dari Hollywood bukan sahaja dari aspek pembuatan filem tetapi juga gaya hidup.



Makanya bukan sesuatu yang memeranjatkan apabila meledak dakwaan mengenai penderaan seks yang dilakukan pengeluar filem terkemuka Hollywood, Harvey Weinstein, soalan yang sama kini ditimbulkan di Bollywood.

Pelbagai dakwaan tentang penderaan seks Weinstein termasuk merogol wanita Hollywood yang bergantung kepada lelaki seperti dia untuk mendapatkan kerja begitu memeranjatkan dunia Barat.


Oleh Ali Imran Mohd Noordin

KUALA LUMPUR, 19 Jan (Bernama) -- "Saya tunjuk dahulu semua dokumen ini pada semua, kalau tidak nanti ada yang tak percaya pula."

Begitulah cara Tan Sri Shahrir Samad, Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) memulakan sidang media 'Perkembangan Terbaharu Berkaitan Tanah Felda di Jalan Semarak' pada 15 Januari lalu.

Berbanding cara konvensional sesebuah sidang media yang dimulakan dengan ucapan, beliau terus lompat' kepada isi utama hari itu iaitu pemulangan semula tanah milik Felda yang dipindah milik melalui beberapa transaksi meragukan.

Wajahnya yang tersenyum sepanjang majlis berlangsung sudah cukup untuk menggambarkan kepuasan melihat kontroversi terbesar organisasi itu dapat diselesaikan dalam masa satu tahun sembilan hari selepas mengambil alih jawatan Pengerusi daripada Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad.

Dalam tempoh sama, beliau turut mengambil beberapa tindakan lain demi mengukuhkan Felda seperti menyusun semula barisan pengurusan, penstrukturan semula aset serta mengukuhkan kedudukan kewangan organisasi itu.


Oleh Erda Khursyiah Basir

KUALA LUMPUR (Bernama) -- "Kalau nak diikutkan memang kami belum mampu nak beli rumah, tapi memikirkan jika tak beli sekarang, bila lagi? Lagi pun harga rumah makin lama makin naik.

"Amat bersyukur bila dapat tahu tentang Skim Pembiayaan Rumah Pertamaku (MyDeposit). Alhamdulillah, macam mimpi jadi kenyataan bila dah ada rumah sendiri...Tak kisahlah kecil ke besar ke, yang penting hak sendiri untuk berteduh bersama suami dan anak-anak, " kata Norjauharatul Wahidah Zakaria, 32, mengukir senyuman.

Terpancar rasa puas di wajahnya ketika menceritakan kepada penulis bagaimana inisiatif kerajaan yang diperkenal sejak 2016 itu memberi makna besar kepada golongan muda dengan pendapatan sederhana seperti dirinya untuk memiliki kediaman sendiri.

Sekitar dua tahun lepas wanita yang mesra dipanggil Wahidah dan berasal dari Kuala Terengganu ini "mencuba nasib" memohon skim MyDeposit selepas terbaca maklumat mengenainya di Facebook dan aplikasi 'Whatsapp' yang dikongsi rakan-rakannya.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan perlaksanaan skim berkenaan pada 6 April 2016, seperti yang dibentangkan dalam Bajet 2016.


Oleh Kurniawati Kamarudin

KUALA LUMPUR (Bernama) -- Pada cuti persekolahan hujung tahun baru-baru ini, penulis berkesempatan ke negeri paling kecil di Malaysia, Perlis setelah hampir 20 tahun tidak menjejakkan kaki ke sana.

Kedatangan ke negeri indera kayangan hampir dua dekad dahulu bukan lawatan biasa atau bercuti sebaliknya untuk menyertai satu misi ekskavasi arkeologi di tapak Kota Kayang yang kini telah dijadikan kompleks sejarah yang menempatkan Muzium Sejarah Kota Kayang.

Sebagai pelajar bidang arkeologi, pengalaman menyertai ekskavasi atau carigali di tapak sejarah adalah pengalaman yang begitu berharga.

Kami bukan sahaja membantu mendalami tugas sebagai kurator tetapi juga perlu memahami setiap aspek kajian di tapak ekskavasi sepanjang tempoh dua minggu berada di sana.

Pada percutian kali ini, penulis kembali ke tapak Kota Kayang yang letaknya kira-kira lima kilometer dari Kuala Perlis dengan membawa kembali memori indah ekskavasi yang dijalankan pada 1998.