•   

PERSPEKTIF ISU MASA KINI › BERITA




UMNO, BN Punya Rekod Baik Dan Konsisten Bantu Rakyat


MELAKA, (Bernama) -- UMNO dan Barisan Nasional mempunyai rekod yang baik dan konsisten dalam menyalurkan pelbagai bentuk bantuan dan sumbangan kepada rakyat tanpa mengira fahaman politik, agama atau bangsa.

Pengerusi Biro Kebajikan UMNO Malaysia Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata bantuan dan sumbangan berkenaan selaras dengan prinsip dan falsafah kewujudan UMNO iaitu berbakti dan membela kebajikan rakyat bagi memastikan rakyat di negara ini dapat menikmati insentif tersebut secara saksama.

"Apa yang kita lakukan, sumbangkan atau bantuan yang diberikan kepada rakyat bukan hanya ketika menghadapi pilihan raya tetapi kita adalah parti yang ikhlas membantu, berbakti dan bekerja secara konsisten.

"Kerja-kerja kebajikan yang kita lakukan ini juga selaras dengan arahan Presiden UMNO Datuk Seri Najib Tun Razak agar kita terus membawa imej parti ini yang bekerja setiap masa untuk rakyat," katanya kepada pemberita selepas Program Penyampaian UMNO Bantu Rakyat 2.0 di sini, hari ini.

Pada program berkenaan sebanyak 1,500 penduduk di kawasan Parlimen Bukit Katil menerima sumbangan berupa barangan keperluan harian.





Turut hadir Bekas Ketua Menteri Melaka yang juga Ketua Bahagian UMNO Bukit Katil Tan Sri Mohd Ali Rustam.

Mengulas lanjut, Shamsul Anuar berkata justeru rakyat khususnya di kawasan pembangkang menilai secara bijaksana dalam memilih pemimpin pada pilihan raya akan datang agar nasib mereka tidak terabai.

"Kita tidak mahu parti atau pemimpin yang hanya bercakap kosong, melemparkan fitnah, mengadu domba dan tidak bekerja untuk rakyat dalam keadaan mereka memerlukan pembelaan dan perhatian," katanya.

Sementara itu, Mohd Ali berkata tahap keyakinan rakyat di Parlimen Bukit Katil terhadap UMNO dan BN dilihat semakin meningkat berdasarkan rekod dan bantuan yang dilakukan dalam membela nasib dan kebajikan mereka dalam tempoh lima tahun ini.

Beliau berkata UMNO atau BN tidak pernah meminggirkan penduduk di parlimen berkenaan walaupun kemenangan tidak berpihak kepada parti berkenaan pada pilihan raya umum lepas.

"Ini adalah budaya UMNO sejak dahulu lagi iaitu kita sentiasa membantu rakyat tanpa mengira masa..berbeza dengan pembangkang yang hanya tahu memfitnah dan mengatakan bantuan yang diberikan sebagai dedak atau rasuah," katanya.

Dalam pada itu, penerima bantuan berkenaan Jariah Sudin, 54, dari Paya Ikan di sini berkata bantuan berkenaan sangat bermakna bagi mengurangkan beban perbelanjaan barangan keperluan harian terutama kepada mereka yang tidak bekerja atau telah bersara.

"Kerajaan di bawah UMNO banyak membantu rakyat sejak dahulu lagi dan pelbagai bantuan seperti kebajikan dan Hari Raya diberikan bagi meringan beban kami," katanya.

Nor Hassan, 40, dari Paya Redan, Ayer Molek pula berkata bantuan yang disalurkan membuktikan keprihatinan kerajaan atau UMNO kehidupan rakyat dan sehingga kini tidak pernah gagal membantu rakyat.

-- BERNAMA