•   

PERSPEKTIF ISU MASA KINI › BERITA




Malaysia Terus Bantu Tangani Krisis Kemanusiaan



Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak merasmikanpelepasan penghantaran misi bantuan kemanusiaan untuk Rohingya yang menggunakan pesawat A400M Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Pangkalan Udara TUDM Subang pada 9 Sept
Oleh Nik Nurfaqih Nik Wil

KUALA LUMPUR, (Bernama) -- Sebagai negara berhemah dan peka terhadap isu sejagat, Malaysia tidak pernah memungkiri janjinya untuk memberi sumbangan melalui misi kemanusiaan, sama ada dengan menghantar bantuan ke negara yang memerlukannya atau menyampaikan suara hati rakyatnya tentang sesuatu perkara ke peringkat antarabangsa.

Antara sumbangan kemanusiaan paling penting oleh negara ini pada 2017 ialah membuka hospital medan pertama untuk masyarakat Rohingya di kem pelarian di Bangladesh.


Anak kapal KD Kedah memunggah masuk barangan bantuan misi kemanusiaan kepada mangsa Taufan Tembin di selatan Filipina pada 27 Dis


Hospital melibatkan kos RM3.5 juta itu, yang terletak di Ukhiya, kira-kira 10 minit berjalan kaki dari kem pelarian Rohingya di Kutupalong dan Bhalukali, mula beroperasi pada 1 Dis.

Hospital medan berkenaan setaraf dengan kebanyakan hospital pakar daerah di Malaysia dan dilengkapi pelbagai peralatan, termasuk bagi melakukan pembedahan ortopaedik.

Berhubung perkara itu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dilaporkan berkata apabila siap sepenuhnya, hospital berkenaan akan mewujudkan "kehadiran Malaysia yang kukuh dan ketara".




Barangkali, ini adalah bantuan paling besar yang juga boleh disumbangkan oleh negara lain. Saya pernah kata sebelum ini bahawa dalam isu Rohingya, kita berada di barisan hadapan, bukan sahaja dalam memberi sumbangan berbentuk diplomasi di pelbagai forum, tetapi juga dari segi bantuan, kata beliau seperti yang dilaporkan.

Bantuan yang dihulurkan Malaysia bukan setakat membina kemudahan itu, tetapi para pegawai tinggi negara ini, termasuk Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sendiri membuat tunjauan ke tapak hospital berkenaan pada Oktober.

Kunjungan beliau itu menghantar mesej jelas kepada dunia bahawa Malaysia memandang serius perkara tersebut dan amat berharap satu penyelesaian jangka panjang dapat dicapai bagi menghentikan penyembelihan etnik di Rakhine, sebuah negeri di Myanmar.

Pada bulan sama, kerajaan Malaysia melancarkan misi kemanusiaan ketiga untuk Rohingya, My Country Concerned (Negaraku Prihatin) untuk menyerahkan 56.6 tan makanan dan barang keperluan lain kepada pelarian Rohingya di sempadan Myanmar-Bangladesh.

Pada Februari, kerajaan Malaysia menghantar 1,700 tan makanan, ubat-ubatan, pakaian dan selimut kepada pelarian Rohingya dengan kapal 'Nautical Aliya' ke Chittagong, selepas memunggahkan kira-kira 500 tan bekalan bantuan di sebuah pelabuhan di Yangon, Myanmar.

Misi dikenali sebagai 'Food Flotilla For Myanmar anjuran Kelab Putra 1Malaysia (KP1M) dan Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) itu disertai 195 sukarelawan dari 12 negara yang terdiri daripada petugas perubatan, guru, pengamal media tempatan dan antarabangsa serta anggota pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Bantuan yang dihulurkan kepada mereka yang menjadi mangsa akibat krisis bukan sahaja hasil sumbangan kerajaan, tetapi juga orang ramai. Pada November, 13 Anggota Parlimen Malaysia mengunjungi kem pelarian Rohingya di Cox's Bazar, Bangladesh untuk menyerahkan kira-kira 25 tan bekalan makanan kepada NGO Malaysia untuk diagihkan kepada pelarian Rohingya di Kem Pelarian Kutupalong, kira-kira 35km dari tempat itu.

Bantuan kepada pelarian Rohingya juga disumbangkan pasukan MyCorps di bawah Kementerian Belia dan Sukan apabila kira-kira 40 sukarelawan terdiri daripada siswazah dan belia daripada NGO berkunjung ke negara itu dari 20 Ogos hingga 18 Okt untuk melaksanakan pelbagai kerja kemanusiaan, termasuk membina sekolah dan kemudahan asas.

Sehingga kini, lebih 600,000 anggota masyarakat Rohingya melarikan diri dari Myanmar ke Bangladesh untuk tinggal di kem pelarian.

Komitmen Malaysia untuk membantu masyarakat Rohingya bukan sekadar menghantar bantuan semata-mata.

Kemuncak daripada isu Rohingya ialah apabila Perdana Menteri menimbulkan perkara itu semasa pertemuan beliau dengan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump dan para pegawai negara berkenaan, yang dapat disaksikan dalam kenyataan bersama kedua-dua negara susulan perbincangan dua hala mereka bagi menggesa kerajaan Myanmar menghentikan kezaliman terhadap mereka yang tidak bersalah dan memastikan bantuan kemanusiaan sampai kepada mangsa.

Malaysia juga bersuara lantang dalam memperjuangkan nasib masyarakat Rohingya dan sebagai buktinya, pada Disember, Perdana Menteri sendiri mengetuai perhimpunan membantah "penghapusan etnik

yang dilakukan terhadap masyarakat Rohingya di negeri Rakhine sebagai usaha menarik perhatian para pemimpin dunia untuk menamatkan kezaliman yang menimpa masyarakat itu.

Langkah itu mencapai kejayaan apabila ia membuka jalan kepada mesyuarat para menteri luar Asean pada 19 Dis tahun lepas dan disusuli dengan Mesyuarat Luar Biasa Menteri Luar Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) pada 19 Jan tahun ini, di mana Najib menegaskan bahawa masanya sudah tiba untuk menamatkan krisis itu.

Selain memperjuangkan nasib masyarakat Rohingya, Malaysia juga memainkan peranan penting dalam isu Palestin dan menutup kalendar tahun ini dengan mengadakan perhimpunan raksasa di sini.

Najib sendiri mengetuai perhimpunan itu sebagai tanda kesepakatan dengan rakyat Palestin bagi membantah pengiktirafan AS terhadap Baitulmuqaddis sebagai ibu negara Israel.

Pada perhimpunan itu, Perdana Menteri menegaskan bahawa Malaysia akan terus memperjuangkan isu berkenaan melalui saluran diplomatik dan politik serta sumbangan kewangan.

Bagaimanapun, setiap perjuangan pasti menempuh ranjau dan duri. Ini terbukti apabila wakil tunggal Malaysia dalam misi Women's Boat to Gaza (WBG) Dr Fauziah Mohd Hassan ditakdirkan berdepan detik-detik cemas apabila kapal kemanusiaan, Zaytouna-Oliva, yang dinaiki beliau, ditahan pihak berkuasa Israel pada Oktober.

Zaytouna-Oliva belayar ke Gaza dari Barcelona pada 15 Sept dengan membawa 13 aktivis wanita dari 12 negara dalam misi mencabar sekatan Israel terhadap Gaza selepas laluan darat ke semenanjung itu disekat rejim Zionis dan Mesir.

-- BERNAMA