•   

PERSPEKTIF ISU MASA KINI › BERITA




Pertabalan Agong Ke-15, Kemangkatan Sultan Abdul Halim Antara Liputan Penting 2017



KUALA LUMPUR, 25 Dis (Bernama) -- Majlis pertabalan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15 yang diadakan penuh istiadat antara sorotan penting membabitkan institusi diraja yang mendapat liputan meluas media sepanjang 2017.

Sultan Muhammad V ditabalkan secara rasmi mengikut warisan dan adat Kesultanan Melayu pada 24 April 2017 selepas menyempurnakan Istiadat Melafaz Sumpah dan menandatangani surat memegang jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15 pada 13 Dis 2016.

Baginda menggantikan Almarhum Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah yang tamat tempoh pemerintahan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-14 pada 12 Dis 2016.

Sultan Muhammad V dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong oleh Raja-Raja Melayu pada Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-243 (Khas) di Istana Negara, 14 Okt 2016, bagi tempoh lima tahun.

Pertabalan Sultan Muhammad V yang diputerakan sebagai Tengku Muhammad Faris Petra Ibni Sultan Ismail Petra di Istana Batu, Kota Bharu pada 6 Okt 1969 juga disambut penuh sukacita oleh rakyat Kelantan kerana selepas 37 tahun, sejarah kembali tercipta di negeri Tanah Serendah Sekebun Bunga itu.

Sebelum itu, nenda Seri Paduka, Sultan Yahya Petra ibni Almarhum Sultan Ibrahim memegang jawatan berkenaan bermula 21 Sept 1975 hingga 30 Mac 1979.

Bagaimanapun dalam kegembiraan menerima Ketua Negara baharu, rakyat berdukacita dengan berita kemangkatan Sultan Abdul Halim yang mencatat sejarah penting sebagai satu-satunya Sultan yang ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong sebanyak dua kali.

Almarhum yang memerintah Kedah selama 59 tahun mangkat pada 11 Sept lepas, sembilan bulan selepas baginda menyerahkan tampuk pemerintahan kepada Sultan Muhammad V.

Sultan Abdul Halim ditabalkan kali pertama sebagai Yang di-Pertuan Agong kelima pada 21 Sept 1970 manakala kali kedua pada 13 Dis 2011.

Turut mencuri tumpuan media pada 2017 ialah perkahwinan diraja antara puteri tunggal Sultan Johor Tunku Tun Aminah Maimunah Iskandariah Sultan Ibrahim dengan Dennis Muhammad Abdullah pada 14 Ogos lepas.

Selain kesederhanaan konsep perkahwinan itu, lensa media dan netizen tertumpu kepada persalinan Tunku Tun Aminah yang mengenakan baju kurung teluk belanga yang disifatkan cukup minimalis, namun tetap kaya dengan adat dan tradisi Johor.

Dalam pada itu, 2017 juga menyaksikan institusi diraja diheret dalam beberapa isu antaranya apabila Presiden Pertubuhan Ahli Sunnah Wal Jamaah Malaysia (Aswaja) Dr Zamihan Mat Zin yang mempertikai pendirian Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berhubung isu dobi di Muar yang tidak menerima pelanggan bukan Islam.

Anggota DAP Datuk Zaid Ibrahim pula mencetuskan kontroversi menerusi akaun Twitter beliau dengan mempertikaikan titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang antara lain menegur bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung kenyataan menghina Bugis.

Isu penghinaan terhadap institusi diraja, bagaimanapun mendapat perhatian pada Perhimpunan Agung UMNO 2017 apabila Naib Presiden UMNO Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dengan tegas mengutuk tindakan pihak berkenaan yang disifatkannya sebagai biadab apabila semakin berani menghina institusi diraja.

Sentimen itu turut dikongsi anggota perwakilan Pergerakan Pemuda UMNO melaungkan Daulat Tuanku sebanyak tiga kali pada perhimpunan itu sebagai ikrar mempertahankan institusi diraja dari terus digugat.

-- BERNAMA