•   

PERSPEKTIF ISU MASA KINI › BERITA




Temasya Sukan SEA Dan Sukan Para ASEAN Bukti Muafakat Rakyat Malaysia


Oleh Farhanah Azmi

KUALA LUMPUR, (Bernama) -- Penganjuran dan kejayaan negara dalam temasya Sukan SEA ke-29 dan Sukan Para ASEAN Kesembilan adalah bukti jelas rakyat bersatu di bawah sukan dan sokongan padu mereka menyemarakkan kejayaan dan pencapaian atlet negara.

Kejayaan dua temasya itu bukan sahaja dilihat dari segi pencapaian jumlah pingat yang diraih tetapi juga sebagai acara sukan yang berjaya menyatukan rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang, etnik, agama, budaya, warna kulit mahupun fahaman politik.

Kejayaan kontinjen negara dalam temasya Sukan SEA, bukan sahaja diukur melepasi pungutan 111 pingat emas seperti yang disasarkan, malah ia lebih manis apabila negara muncul juara keseluruhan temasya itu dengan meraih 145 pingat emas, 92 perak dan 86 gangsa.

Berbekalkan sokongan padu penonton tempatan dan disemarakkan dengan tema Sukan SEA 'Bangkit Bersama', tidak disangsikan semua atlet berusaha keras sehingga berjaya meraih kejayaan itu.

Pencapaian membanggakan itu ibarat 'hadiah' kepada negara yang menyambut Hari Kebangsaan sehari selepas majlis penutup temasya.

Dalam temasya Sukan Para ASEAN, Malaysia menamatkan saingan di tempat kedua dengan kutipan 90 pingat emas, 85 perak dan 83 gangsa iaitu 258 pingat secara keseluruhan.

Tahun 2017 juga boleh dianggap kejayaan cemerlang atlet-atlet negara dalam mengharumkan nama Malaysia di persada antarabangsa apabila enam atlet, termasuk tiga atlet kurang upaya dinobatkan sebagai juara dunia.

Pencapaian pada kejuaraan dunia dimulakan dengan jaguh berbasikal trek, Mohd Azizulhasni Awang dan kemudiaannya diikuti Muhammad Ziyad Zolkefli dan Abdul Latif Romly (olahraga para); Cheong Jun Hoong (terjun); Wong Wen Son (wushu); dan terakhir untuk tahun ini ialah melalui Cheah Liek Hou yang memenangi Kejohanan Badminton Dunia Para-BWF.

Menyentuh pencapaian atlet OKU, arena sukan tanah air menyaksikan atlet paralimpik dinobatkan sebagai Olahragawan Kebangsaan buat julung kalinya.

Kejayaan Abdul Latif menghadiahkan Malaysia dengan pingat emas dan sekali gus mencipta rekod baharu dunia dalam acara lompat jauh T20 pada temasya Sukan Paralimpik di Rio de Janeiro, Brazil, membolehkan beliau menjadi penerima anugerah tertinggi sukan negara itu.

Pada tanggal 10 Jan, nama atlet Malaysia turut terukir di peringkat dunia melalui kejayaan Mohd Faiz Subri meraih Anugerah Puskas Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) 2016 yang menjadi penanda aras baharu dalam arena bola sepak tanah air untuk mencapai kecemerlangan di persada antarabangsa.

Siapa menyangka, nama penyerang pasukan Pulau Pinang itu mampu mencipta sejarah baharu buat Malaysia meskipun beliau bukanlah pemain skuad kebangsaan dan juga bukan nama pemain pilihan kalangan pemain elit negara.

Langit tidak selalunya cerah, begitu juga dalam arena sukan tempatan, di mana turut terpalit insiden yang tidak diingini membabitkan atlet negara, walaupun Kementerian Belia dan Sukan sentiasa memperingatkan semua atlet mengenai isu doping, masih ada lagi yang didapati positif menggunakan bahan terlarang seperti yang telah digariskan oleh Agensi Antidoping Dunia (WADA).

Dua atlet elit, Wendy Ng Yan Yee (terjun) didapati gagal saringan doping untuk bahan terlarang jenis sibutramine yang kebiasaannya terdapat dalam produk pelangsing badan, manakala Mohd Hafifi Mansor (angkat berat) pula melibatkan Oxymetholone, sejenis bahan steroid sintetik anabolik dan androgenik.

Selain itu arena sukan negara turut digemparkan dengan kes seorang jurulatih renang kebangsaan yang terbabit dalam program 'Kita Juara' pada KL2017 ditahan polis selepas didakwa merogol seorang atlet pada Oktober lepas.

Dalam perkembangan lain, Malaysia mengucapkan 'selamat tinggal' kepada penganjuran perlumbaan berprestij dan berprofil tinggi, Kejuaraan Dunia Formula Satu (F1).

Penganjuran F1 di Sepang yang menyaksikan acara hebat dan mengujakan sejak 1999 itu berakhir penuh sentimental, mengukir sejarah litar perlumbaan yang mencabar bukan sahaja dari segi reka bentuk trek perlumbaan tetapi juga cuaca tidak menentu untuk meletakkan Malaysia di peta dunia dalam sejarah penganjuran Formula 1.

Pada 7 April, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan bahawa Malaysia tidak lagi menganjurkan perlumbaan F1 selepas kerajaan bersetuju menamatkan kontrak penganjuran mulai tahun depan berikutan pulangan yang semakin ketara menurun, namun begitu, penglibatan Malaysia dalam perlumbaan F1 tetap diteruskan melalui Petronas, yang akan meneruskan penajaan ke atas pasukan Mercedes AMG Petronas sebagai strategi pemasaran syarikat berkenaan sehingga tahun 2020.

Turut mencuri tumpuan sepanjang tahun 2017 ialah pemilihan barisan kepimpinan baharu Persatuan Bola sepak Malaysia (FAM) dan juga Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Kongres FAM ke-53 pada 25 Mac itu menyaksikan Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim disahkan sebagai presiden baharu bagi penggal 2017-2021 yang menang tanpa bertanding selepas pencabarnya, Tan Sri Annuar Musa, bekas presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), menarik diri.

Sementara itu, kemelut 'gentleman agreement' untuk jawatan presiden sebelum pemilihan BAM pada 29 April yang melibatkan dua calon iaitu pemangku presiden, Tan Sri Mohamed Al Amin Abd Majid dan timbalannya, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria, meresahkan banyak pihak.

Namun isu itu selesai setelah Mohamed Al Amin bersetuju memberi laluan kepada Mohamad Norza selepas diumumkan oleh Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin selepas perjumpaan secara tertutup dengan Penaung BAM, Datin Seri Rosmah Mansor.

Ia sekali gus mengekalkan tradisi BAM tiada pemilihan untuk jawatan presiden dan ahli majlis BAM bersetuju untuk melantik Mohamed Al Amin sebagai Penasihat BAM.

-- BERNAMA