•   

PERSPEKTIF ISU MASA KINI › BERITA




Syria Mahu 'Buka Lembaran Baharu'


Oleh Nabilah Saleh

KUALA LUMPUR (Bernama) -- "Mimpi ngeri hampir berakhir" - itu merupakan petunjuk terbaik bagi menggambarkan situasi terkini di Syria selepas negara itu mengumumkan "kemenangan" selepas tentera Syria dan sekutunya berjaya menawan kubu kuat terakhir Daesh di pekan Abu al-Kamal berhampiran sempadan Iraq pada 9 Nov.

Oleh itu, tumpuan kini sudah beralih kepada pembinaan semula pekan-pekan dan bandar-bandar, kata Kuasa Usaha Syria Tamim Madani kepada Bernama dalam satu temu bual eksklusif di ibu pejabat agensi berita tersebut baru-baru ini.

Dalam mengejar misi untuk membina semula dan memulihkan negara Syria yang terjejas akibat peperangan, perkembangan ini memberi isyarat bahawa satu "angin perubahan" baharu harus dilakukan.

PERKONGSIAN DENGAN MALAYSIA

Meskipun kejatuhan Daesh belum berlaku sepenuhnya, Tamim berkata kerajaan Syria mengambil langkah penting bagi merancang fasa pembinaan semula Syria yang dijangka diumumkan pada akhir tahun ini.

Selepas perjuangan menentang keganasan berakhir, rancangan itu membayangkan pembinaan semula bangunan dan infrastruktur yang telah musnah, katanya.

Dalam hal ini, beliau berkata Syria banyak belajar dari Malaysia.

"Rancangan ini turut menyentuh bagaimana Syria mengambil langkah-langkah untuk menjaga masa depan dan memastikan bahawa kami, rakyat Syria tidak akan berdepan lagi dengan masalah seperti sebelumnya."

"Kami pasti akan menjemput semua negara yang menjadi sahabat untuk turut serta, terutama mereka yang sentiasa menghulurkan bantuan ketika kami berjuang menentang musuh dan ketika kami berjuang untuk meneruskan kehidupan. Oleh itu, saya ingin melihat negara seperti Malaysia yang telah banyak membantu kami untuk turut serta," katanya.

Memandangkan Presiden Syria Bashar al-Assad begitu kagum dengan pengalaman Malaysia, Tamim berharap beliau dapat melihat penyertaan institusi dan syarikat Malaysia dalam pembinaan semula Syria.

"Kami ingin belajar sebanyak yang mungkin daripada pencapaian Malaysia. Kami ingin menimba pengalaman ini dan menerapkannya sedapat mungkin di Syria."

"Mudah-mudahan, jika kami melihatnya sesuai dengan politik dan layak dari segi ekonomi, saya pasti kita akan memperoleh faedah bersama. Saya sendiri percaya perkara ini tidak mustahil dan saya sedang mengusahakannya," katanya.

PELAWAAN BUKA SEMULA KEDUTAAN

Dalam nada yang sama, Tamim menjelaskan bahawa keadaan di Syria telah banyak berubah ketika ini.

Beliau berpendapat dan mencadangkan kerajaan Malaysia agar mempertimbang pembukaan semula kedutaannya, atau sekurang-kurangnya memulakan proses pembukaan dan berfungsi seperti 53 kedutaan lain yang kini berpusat di Damsyik, antara bandar tertua di dunia.

"Saya telah membincangkan isu ini dengan beberapa pihak di Malaysia, termasuk Kementerian Luar anda. Saya telah menjelaskan situasi terkini dan mempelawa mereka untuk datang, melawat Syria dan menyaksikannya sendiri," katanya.

Pada Ogos 2012, Bernama melaporkan bahawa Wisma Putra telah mengarahkan agar Kedutaan Besar Malaysia di Syria ditutup sementara berikutan peningkatan konflik di negara itu.

Duta Besar Malaysia ke Damsyik dan empat lagi pegawai kedutaan telah ditarik balik selepas 128 pelajar dibawa pulang ke Kuala Lumpur.

Dilaporkan bahawa 10 ekspatriat Malaysia turut berdaftar dengan kedutaan itu.

SAKSIKAN SENDIRI

Beliau menjelaskan susulan perkembangan terkini mengenai kekalahan Daesh di semua pekan dan bandar utama Syria, situasi sebenar di negara itu berbeza dengan laporan berita asing di seluruh dunia.

Yakin dengan kuasa media dalam menyampaikan maklumat yang sahih dan tepat mengenai Syria, oleh itu, laporan berita oleh anggota media Malaysia dianggap perlu untuk mendedahkan perkara sebenar.

Justeru beliau mencadangkan agar lawatan media ke Syria dilakukan dalam masa terdekat.

"Apabila anda tiada di sana, anda hanya akan memetik dan cuba memahami berita tersebut daripada orang lain (agensi berita asing lain juga). Ini tidak cukup untuk memberikan anda gambaran sebenar."

"Anda perlu melihat dengan mata kepala anda sendiri. Dalam hal ini, adalah bagus untuk audiens Malaysia mengetahui keadaan di Syria sekarang, serta perancangan kami terutama berkaitan proses perdamaian dan pembinaan semula (negara) yang sedang berlaku," katanya sambil menambah bahawa ratusan pemberita yang berkunjung ke Syria terkejut apabila menyaksikan sendiri perkara itu.

Beliau berkata sebagai sebuah kerajaan yang sah, Syria sedia menerima sebarang pandangan mengenai negara itu yang dilaporkan oleh media di seluruh dunia.

"Lawatan (untuk anggota media Malaysia) adalah penting untuk Syria. Saya percaya tiada sesiapa dari Malaysia yang pernah menemu bual Presiden kami. Mungkin kita boleh aturkannya," katanya.

RUNDINGAN DAMAI, PERJUANGAN MENENTANG KEGANASAN

Mengimbas kejayaan tentera Syria dalam menghapuskan kumpulan Daesh, Tamim berkata masih banyak yang perlu dilakukan terutama ke arah menyatukan rakyat Syria dalam proses mereformasi negara itu.

Beliau turut menjelaskan dengan lebih lanjut mengenai apa yang berlaku di Syria sekarang, iaitu dua proses rundingan damai yang berlangsung serentak di ibu negara Kazakhstan - Proses Astana dan Rundingan Geneva yang dipelopori Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, yang telah membuahkan hasil yang ketara di negara itu.

Merujuk rundingan damai Proses Astana, beliau berkata platform itu telah membuahkan hasil utama yang membawa kepada keputusan ulung termasuk penubuhan 'zon de-eskalasi' iaitu Latakia, Homs, Aleppo dan Hama.

"Rundingan Astana berjaya menstabilkan keadaan sekurang-kurangnya di empat kawasan berbeza. Tahap keganasan telah merosot secara dramatik, justeru menunjukkan bahawa mereka telah berjaya. Negara-negara penjamin (Rusia, Iran dan Turki) telah menjalankan tugas mereka dengan baik," katanya.

Tamim berkata susulan rundingan tiga hala mengenai penyelesaian krisis Syria yang telah dimuktamad di bandar peranginan Laut Hitam iaitu Sochi, yang bersetuju menyokong satu dialog menyeluruh di Syria, beliau meramalkan bahawa ia akan membawa semua pihak di Syria ke meja rundingan.

"Pada akhirnya, rakyat Syria sendiri perlu sepakat untuk mencari penyelesaian dan membincangkan krisis yang melanda Syria," katanya.

-- BERNAMA