•   

PERSPEKTIF ISU MASA KINI › BERITA




Kebenaran Disebalik Kewangan Khazanah Nasional


Oleh Azman Ujang

KUALA LUMPUR, 5 Dis (Bernama) -- Memiliki aset bersih bernilai lebih RM100 bilion, dana kekayaan negara, Khazanah Nasional Bhd, berada pada kedudukan terbaik untuk mengatasi kebanyakan entiti korporat lain dalam media, jika itulah yang dimahukannya.

Namun, sebaliknya, ia memilih untuk menjalankan kerjanya secara senyap, rendah hati dan tidak bermegah-megah dengan kejayaannya.

Inilah imej yang dibawa oleh pengurusan Khazanah, yang diketuai oleh Pengarah Urusan, Tan Sri Azman Mokhtar, dalam tempoh 13 tahun yang lepas.

Namun, tidak semena-mena, muncul dua laporan dalam Straits Times Singapura sejak beberapa minggu lepas, yang melaporkan mengenai Khazanah, sekali gus mencetuskan minat media di sini dan di seberang Tambak.

Ia bermula awal bulan lepas apabila akhbar itu melaporkan mengenai pelan penggantian dalaman untuk jawatan tertinggi di Khazanah, akan terungkai 'disebabkan tindakan melobi yang sangat kuat oleh calon luar yang berharap menggantikan Azman'.

Dua pengarah eksekutif Khazanah dan dua orang orang luar dilaporkan mahu mengambil alih jawatan Azman, yang telah berkhidmat sejak 2004 dan kontraknya akan tamat pada akhir Mei 2019.

Dan minggu lepas, Straits Times menambah satu lagi tarikan apabila melaporkan Khazanah mula 'rasa panas' ekoran tekanan untuk mendapatkan pulangan yang lebih tinggi, dan mengubah strategi pelaburannya.

Pada mulanya, sumber terkemuka yang biasa dengan Khazanah, hairan terhadap masa laporan spekulasi mengenai perubahan kepemimpinan itu sedangkan Azman masih mempunyai 18 bulan sebelum kontraknya berakhir.

Mereka juga ingin tahu mengapa serangan negatif dibuat ke atas institusi profesional yang mempunyai rekod prestasi kewangan yang kukuh dan mengatasi apa sahaja ukuran prestasi, terutama memandangkan hakikat Khazanah tidak menerima sebarang suntikan modal tetap.

Kedua-dua media tradisional dan sosial juga turut serta dengan mengambil petunjuk daripada akhbar Singapura itu, namun Khazanah pantas mematikan laporan mereka dengan menyifatkan laporan itu sebagai gambaran pretasi kewangan 'yang tidak tepat dan mengelirukan.'

Sebagai contoh, Straits Times melaporkan Khazanah memperoleh kurang daripada satu peratus dividen setahun antara 2013 dan tahun lepas, namun Khazanah mempertikaikannya dengan mengatakan kesimpulan itu dicapai berdasarkan fokus terpilih harian pada set sempit dan tidak lengkap daripada petunjuk prestasi kewangannya.

Ia berkata kewangan Khazanah sepatutnya diukur berdasarkan jumlah pulangan, yang mengambil kira pulangan yang diperoleh dan belum diperoleh selain pengagihan pulangan melalui dividen.

Ini diterjemahkan kepada pulangan tahunan terkumpul sebanyak 9.3 peratus setahun dalam tempoh 13 tahun dari Mei 2004 hingga Disember 2016, berbanding pulangan hanya satu peratus atau 2.6 peratus seperti yang dilaporkan oleh akhbar berkenaan.

Dana pemegang saham Khazanah juga meningkat kepada RM37.8 billionpada Disember 2016 daripada RM13.2 billion dalam tempoh yang sama pada 2004, meningkat sebanyak RM24.6 bilion.

Sumber itu memberitahu Bernama bahawa salah lapor mengenai kedudukan kewangan Khazanah dalam media sejak akhir-akhir ini berpunca daripada kejahilan mengenai portfolio dan mandatnya sebagai dana pelaburan strategik kerajaan Malaysia.

Tidak seperti entiti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dan Tabung Haji, Khazanah tidak menerima suntikan modal tetap, selain ia juga melaksanakan pelaburan pemangkin - di dalam dan di luar negara - selain inisiatif pembangunan untuk negara.

Ia menjayakan pembangunan utama untuk modal insan melalui Yayasan Hasanah yang ditubuhkan pada 2015 dengan RM3 bilion dicagarkan sebagai pembiayaan bagi memacu agenda pembangunan bangsa untuk memajukan Malaysia sebagai negara yang berdaya saing di peringkat global.

Modal ini dilindungi dan hanya faedah digunakan untuk memastikan kemapanannya. Tahun lepas sahaja, yayasan itu membelanjakan kira-kira RM125 juta, sebahagian besarnya untuk pendidikan.

Dan, ia akan terus melaksanakannya, kata sumber dan menambah pujian wajar diberikan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Ahli Lembaga Khazanah atas kebijaksanaan dalam melaksanakan inisiatif sosial ini.

"Pelaburan ini mungkin berupa wang yang boleh diisytiharkan sebagai dividen. Justeru pengkritik perlu membuat analisis yang tepat sebelum membuat anggapan dan kesimpulan sempit," kata sumber itu.

Satu inisiatif tanggungjawab sosial yang boleh dibanggakan Khazanah ialah Skim Latihan 1Malaysia, yang menyediakan latihan kemahiran kepada siswazah menganggur untuk meningkatkan kebolehpasaran mereka.

Setakat ini, SL1M telah melatih kira-kira 4,200 siswazah dengan kos RM20,000 seorang, dengan khabar gembira apabila lebih daripada 80 peratus siswazah menganggur ini berjaya mendapat pekerjaan.

Khazanah juga dipertanggungjawabkan dalam rundingan yang sukar bersama Singapura dalam pembangunan tanah di republik itu yang pernah digunakan sebagai landasan kereta api untuk Malayan Railways (KTM) berikutan penamatan perkhidmatannya.

Ia berjaya mencapai kata sepakat yang baik dengan Singapura.

Dilihat secara objektif, gembar-gembur media tentang siapa yang akan menggantikan Azman pada hakikatnya, bukan isu pada masa ini.

Bukan sahaja disebabkan beliau masih mempunyai kontrak, hakikatnya Khazanah sendiri mempunyai proses penggantian yang mantap dan teratur yang akan dilaksanakan pada masa akan datang, sejajar dengan amalan institusi yang baik.

Dalam kalangan Khazanah sendiri, ada yang menganggap andaian perubahan kepimpinan itu sebagai tidak masuk akal kerana mereka mengharapkan kontrak Azman dilanjutkan, memandangkan Khazanah berada dalam kedudukan yang sangat baik di bawah kepimpinannya.

Wartawan kanan M. Shanmugam, dalam kolumnya di The Star, menulis: "Apa yang Azman lakukan di Khazanah ialah integriti dalam mentadbir aset awam dan menguruskan dana awam.

"Khazanah adalah dana negara yang sangat dihormati dalam pasaran modal antarabangsa. Ia dipandang tinggi oleh kalangan pelabur dan bank atas pengurusan profesionalnya yang mematuhi piawaian yang boleh diterima di peringkat antarabangsa," katanya.

Ini merupakan pengiktirafan yang tinggi ke atas mana-mana badan korporat Malaysia, dan Khazanah berjaya merealisasinya tanpa perlu bercakap besar.

-- BERNAMA