•   

PERSPEKTIF ISU MASA KINI › BERITA




Wanita UMNO Mesti Tangkas Tepis Tohmahan Dan Fitnah



Oleh Harlina Samson

KUALA LUMPUR, 2 Dis (Bernama) -- Menjangkakan pilihan raya umum ke-14 kelak amat mencabar dan diwarnai pelbagai fitnah dan tohmahan, jentera Pergerakan Wanita UMNO tekad bergerak lebih tangkas menangkis segala dakyah yang dilemparkan terhadap parti dan Barisan Nasional (BN).

Menggunakan sepenuhnya setiap kesempatan yang ada sepanjang Perhimpunan Agung UMNO 2017 yang bermula pada Selasa ini, Ketua Wanita Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil berkata mesej utama kepada anggota parti pastinya menjurus kepada gerak kerja bagi memastikan UMNO terus menjadi pilihan majoriti rakyat pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) kelak.

Pergerakan Wanita,yang menjadi tulang belakang parti, menggalas tanggungjawab besar dan penting untuk menggerakkan jentera pilihan rayanya menemui pengundi di setiap pelosok tempat dan menjelaskan apa jua isu yang ditimbulkan.

"Saya menjangkakan PRU14 ini akan menjadi pilihan raya umum yang penuh dengan fitnah dan tohmahan oleh pembangkang sebab dia nampak kerajaan BN yang ditunjangi UMNO dan dipimpin Presiden (Datuk Seri Najib Tun Razak) telah jalankan tugas dengan baik," katanya dalam satu wawancara bersama Bernama menjelang Perhimpunan Agung UMNO 2017 di sini.

Menyifatkan PRU14 sebagai 'ibu segala pilihan raya', Shahrizat mahu jentera Wanita UMNO dan malahan keseluruhan UMNO menajamkan senjata menangkis tohmahan dan fitnah yang disebarkan pembangkang terutamanya melalui media sosial.

Mempelajari kelemahan pada PRU13, Ketua Wanita itu berkata sayap utama, yang mempunyai hampir 1.4 juta anggota, kini lebih bersedia dengan sejumlah soldadu maya untuk menangkis tohmahan dan fitnah pembangkang.

Bagi bekas menteri kabinet yang tidak lepas dengan tohmahan dan fitnah sebelum ini, Shahrizat berkata rakyat sebenarnya perlu turut berperanan menjadi jentera memperjelaskan dan menyampaikan fakta yang benar dan menghentikan penyebaran berita palsu.

Hakikat perhimpunan tahunan ini adalah terakhir sebelum PRU14 yang semakin hampir, Shahrizat yang memimpin Pergerakan Wanita UMNO sejak 2009 berkata perhimpunan parti kali ini menjadi medan penting dan kemuncak persiapan menyahut genderang perang.

"Jentera Wanita adalah jentera utama PRU, jadi setiap jentera di setiap Parlimen dan DUN (Dewan Undangan negeri) amat mustahak, walaupun beberapa DUN dianggap sebagai hitam susah nak tembusi , tetapi semua tempat akan kami tembusi," kata wanita berlatarbelakangkan bidang undang-undang yang menyertai UMNO pada 1960.

Menegaskan bahawa tiada kawasan Parlimen atau DUN yang lebih mustahak atau mengatasi satu sama lain kerana semua adalah mustahak dan sama tarafnya, beliau berkata jentera Wanita seperti jentera Jalinan Rakyat, Skuad Sayang dan Skuad Annur memainkan sangat penting untuk mendekati pengundi.

"Semua sama penting kerana pertama kita nak tentukan cukup kerusi tubuh kerajaan. Kedua, sasaran kita ialah dapat kerusi terbanyak kerusi, bagi kawasan susah nak tembusi setidak-tidaknya kita nak tingkatkan undi popular untuk BN. sebab tu tak ada kawasan tidak mustahak," tegasnya,

Pada pilihan raya umum ke-13, BN memenangi 133 daripada 222 kerusi Parlimen untuk membentuk kerajaan pusat. Namun, jumlah undi popular yang diperoleh BN adalah 5,237,699 undi berbanding parti pembangkang memperoleh jumlah besar undi iaitu sebanyak 5,623,984 undi bagi 89 kerusi yang dimenanginya.

Persiapan menghadapi pilihan raya Wanita UMNO di hampir 22,000 cawangan seluruh negara sudah siap lama dan ucapan perasmian serentak perhimpunan sayap-sayap pada Selasa serta ucapan dasar Presiden pada Khamis akan menjadi pencetus kemuncaknya menghadapi 'peperangan besar PRU14'.

Menekankan pentingnya anggota sayap itu bersatu padu dan merapatkan barisan serta mengukuhkan solidariti bagi memastikan UMNO kuat, anggota Wanita UMNO sebagai srikandi juga mestilah sentiasa bersikap tenang dan rasional, sekali gus memberi sokongan padu kepada barisan kepimpinan.

Mengingatkan tentang cabaran getir yang dihadapi UMNO sekarang, Ketua Wanita itu berkata pemimpin UMNO di setiap peringkat perlu sentiasa awas dan mengambil iktibar dengan pergolakan dalaman sehingga ada yang keluar parti dan ancaman dari luar parti.

"Ini adalah lumrah politik. bukan satu perkara yang luar biasa atau tidak pernah berlaku atau akan terlalu menjejaskan UMNO menghadapi PRU.. tapi kita (anggota UMNO) jangan ambil sambil lewa. Pemimpin dalam UMNO dan BN mesti mengawasi isu yang ditimbulkan, tohmahan dan fitnah mereka bawa mesti kita awasi dan beri jawapan kepada rakyat di akar umbi," katanya.

-- BERNAMA