•   

PERSPEKTIF ISU MASA KINI › BERITA




Caj Saksama Akan Pastikan Penumpang Klia Tidak Memberi Subsidi Kepada Klia2


Oleh Mikhail Raj Abdullah

KUALA LUMPUR, 1 Nov (Bernama) -- Langkah untuk menyamakan caj perkhidmatan penumpang (PSC) antara Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur2 (klia2) dan KLIA akan memastikan kedudukan yang adil dalam jangka panjang, dan mengelak gangguan perniagaan antara syarikat penerbangan yang beroperasi di kedua-dua terminal.

Langkah itu, yang diumumkan oleh Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM), dan berkuat kuasa pada 1 Jan 2018, akan memastikan penumpang di KLIA dan lapangan terbang lain di Malaysia tidak memberi subsidi kepada klia2.

Sudah sepatutnya caj itu sama memandangkan PSC kini masih lagi tinggi di KLIA walaupun kemudahan dan perkhidmatan di klia2 setanding dengan KLIA.

Oleh itu, keputusan yang dibuat oleh MAVCOM pada Oktober tahun lepas, wajar diterima dan dihormati oleh semua pihak.

Sebelum ini, kerajaan menetapkan PSC untuk klia2, yang dibuka pada Mei 2014, pada tahap yang sama dengan Terminal Penerbangan Tambang Rendah sebelumnya di KLIA, dengan kemudahannya dianggap rendah.

Secara rasionalnya langkah menyamakan itu disebabkan klia2 sudah sebanding dengan KLIA dan merupakan lapangan terbang yang lebih hebat berbanding lapangan terbang lain di Malaysia termasuk Pulau Pinang, Langkawi, Kota Kinabalu dan Kuching.

Oleh itu, tidak masuk akal bagi klia2 dikenakan PSC yang lebih rendah berbanding lapangan terbang lain.

PSC untuk pelepasan antarabangsa meningkat kepada RM50 bagi klia2 dan RM73 untuk semua lapangan terbang lain.

Mulai Januari tahun depan, PSC antarabangsa di klia2 akan dinaikkan kepada RM73, bersamaan dengan kadar untuk pelepasan antarabangsa di semua lapangan terbang lain di Malaysia.

MAVCOM bagaimanapun sedang berusaha untuk membolehkan PSC di lapangan terbang sekunder lebih rendah daripada KLIA dan klia2, namun usaha itu memerlukan masa, dan dijangka mengambil masa tiga tahun.

Hujahnya sekarang ialah selagi PSC klia2 lebih rendah, PSC yang dibayar oleh penumpang dari lapangan terbang lain di Malaysia akan digunakan untuk penyelenggaraan klia2.

Ini bermakna penumpang memberi subsidi kepada lapangan terbang yang mempunyai kemudahan yang lebih baik, yang mereka sendiri tidak gunakan.

Ini terjadi disebabkan caj PSC yang lebih rendah di klia2 tidak mencukupi untuk menampung perbelanjaan mengurusnya.

Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) yang berpangkalan di Geneva, berulang kali menyuarakan sokongan untuk menyamakan PSC, dengan mengatakan sebarangkan perbezaan akan menjurus kepada subsidi bersilang, dengan penumpang KLIA membayar untuk perkhidmatan yang dinikmati oleh penumpang klia2.

Dari perspektif makro, persamaan caj PSC akan mengurangkan subsidi kerajaan yang perlu dibayar oleh kerajaan kepada Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB).

Mengikut Perjanjian Operasi semasa yang dimeterai oleh kerajaan dan MAHB, kerajaan perlu membayar subsidi MAHB jika PSC kurang daripada paras tertentu berdasarkan formula.

Pada tahap PSC semasa yang lebih rendah di klia2, kerajaan perlu memberi subsidi lebih daripada RM70 juta setahun kepada MAHB.

Ini bermakna, pembayar cukai memberi subsidi kepada penumpang yang menggunakan klia2, yang mampu melancong ke destinasi melepasi ASEAN.

Dalam erti kata lain, AirAsia beroperasi dengan bantuan kerajaan kerana mereka memperoleh kelebihan harga yang kompetitif daripada caj PSC yang lebih rendah, atas pengorbanan pembayar cukai.

Bayaran PSC yang sama hanya memberi kesan ke atas mereka yang melancong ke destinasi di luar ASEAN dari klia2, iaitu kurang daripada 5.0 peratus trafik penumpang Malaysia.

Semua kategori perjalanan lain tidak terjejas.

Satu perkara penting untuk diberi pertimbangan ialah trafik penumpang tahun ini tidak terjejas oleh peningkatan caj PSC yang diumumkan oleh MAVCOM tahun lepas.

Sebaliknya, trafik meningkat 10.2 peratus dalam tempoh sembilan bulan berakhir September 2017 berbanding 4.4 peratus dalam tempoh yang sama tahun lepas.

Selain itu, MAHB baru-baru ini mencatatkan peningkatan jumlah trafik masuk dari China iaitu sebanyak 22.0 peratus dalam tempoh tujuh bulan berakhir Julai 2017 berbanding tahun sebelumnya.

Oleh itu, caj PSC tidak menjejaskan trafik penumpang.

-- BERNAMA