•   

PERSPEKTIF ISU MASA KINI › BERITA




Busana Tenun Jadi Pilihan Deepavali



Oleh S Kisho Kumari

KUALA LUMPUR (Bernama) -- Deepavali adalah masa terbaik untuk seseorang memakai pakaian tradisional yang menjadi tarikan sepanjang hari dan juga menggayakan pakaian tercantik pada hari berkenaan khususnya dalam media sosial.

Jika terdapat satu trend yang akan menguasai landasan peragaan dan kedai-kedai pakaian untuk musim perayaan tahun ini, ia adalah baju dan kurta tenun yang elegan, berbanding pakaian tradisional yang sarat.

Walaupun sari dan lengeha terus digemari, orang ramai kini mula beralih daripada sut dan sari yang dihiasi penuh dengan labuci kepada pakaian yang selesa dan minimalis yang memudahkan pergerakan seseorang sepanjang hari.

Pengasas Amitaruci, Tanesha Vinod percaya material tenun sedang melalui revolusi saat ini dengan kombinasi gaya India dan barat khususnya dalam kalangan orang muda.

"Musim ini lebih banyak mengenai pakaian selesa. Fabrik tenun lebih lembut dan warnanya lebih terang. 'The Loom' adalah nama koleksi saya tahun ini yang mana saya membawa fabrik tenun terkenal di seluruh India."

"Tahun lepas saya memperkenalkan Kalamkari, sejenis tekstil lukisan tangan, ia popular dan sehingga kini orang menyukai Kalamkari. Tahun ini saya akan menghasilkan pakaian Indo-barat menggunakan Madurai Sungudi Kattam Saree, Ikkat, Indigo, fabrik Kashish dan broked Banaras. Kesemua fabrik ini buatan tangan dan setiap satunya mempunyai keindahan unik tersendiri," katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Berdasarkan pemerhatiannya, beliau berkata kombinasi indigo-merah jambu dan kelabu-neon dilihat sebagai kegemaran orang ramai tahun ini.

"Pada dasarnya, mereka lebih suka memakainya bersama baju labuh dengan lengan separas siku atau lengan terdedah di bahu yang sangat menarik kepada si pemakainya," kata pereka yang memenangi tempat kedua gelaran 'Best Eco Wear' pada 2014.

Menurut Tanesha, fabrik cetak semakin kurang digemari kerana banyak kain tiruan boleh didapati di mana-mana dengan harga lebih murah dan kualiti rendah secara dalam talian.

"Fabrik tenun mempunyai kecantikan tersendiri dan untuk itu, semua fabrik saya pilih dengan teliti. Koleksi perayaan pertama saya semua habis dijual dalam tempoh dua jam dan saya sangat gembira, koleksi kedua kini sedang dalam proses. Kami juga mempunyai pembeli bukan orang India kerana saya mempelbagaikan rekaan pakaian sederhana untuk memenuhi keperluan semua orang di Malaysia," katanya.

Satu lagi trend yang semakin mendapat tempat ialah fabrik bercorak kotak-kotak Madras dan Poochampalli yang membuat kemunculan semula sebagai baju maxi, palazo dan skirt.

Memecahkan monotoni gaya tradisional, Pengasas Regalia Fashion & Fabrics J. Rebekah berkata busana feminin tetapi mudah digayakan menjadi penggayaan yang paling dikehendaki pada masa ini.

Koleksi Madurai Chic Diwali beliau dan baju kapas tenun dengan beberapa warna terang dan unik adalah antara pilihan utama yang mendapat permintaan daripada pelanggan.

"Tahun ini, semua orang inginkan warna yang terang dan meriah. Mereka sukakan campuran gaya berkelas dan kontras dalam pakaian mereka, maka saya hasilkan koleksi peragaan saya tahun ini diilhamkan oleh tema pertunjukan Indian Fashion Agora 2017, pop India," katanya.

Beliau berkata busana minimalis menjadi pilihan bagi mereka yang merayakan Deepavali tahun ini untuk mudah bergerak, melawat saudara-mara, memasak dan mengemas, tetapi pada masa sama kekal bergaya dan glamour.

-- BERNAMA